Ringgit dijangka terus mengukuh minggu depan ekoran pengubahsuaian bajet dan keputusan Peguam Negara - pakdin.my

ringgit-malaysia

Ringgit dijangka terus berada dalam lingkungan mengukuh minggu depan, didorong pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016.

Ketua Pendapatan Tetap dan Penyelidikan Ekonomi Hong Leong Bank, Choong Yin Pheng berkata, sentimen positif membabitkan harga minyak mentah global juga dijangka mempengaruhi pengukuhan ringgit.

“Kami berpendapat, pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016 itu mencerminkan senario lebih realistik serta menarik minat pelabur terhadap ringgit. Malah, dengan adanya permintaan domestik yang lebih kukuh, ringgit dijangka akan kekal stabil pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah berhubung dana RM2.6 bilion, turut mengurangkan risiko terhadap penarafan negara, kata agensi penarafan Standard (amp) Poor’s Ratings Services.

Pada Khamis, Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan 11 langkah bagi menghadapi cabaran situasi ekonomi semasa menerusi pengubahsuaian Bajet 2016 selain memastikan kesejahteraan rakyat diutamakan dan pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit mencecah paras tertingginya dalam tempoh tiga setengah bulan apabila berada pada 4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong terutamanya oleh kenaikan harga minyak mentah.

Ia turut diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Bagi perbandingan mingguan, unit tempatan itu terus mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.1500 daripada 4.2950/2040 pada Jumaat minggu lepas.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9143/9228 daripada 3.0073/0157 dan meningkat berbanding yen kepada 3.4337/4429 daripada 3.6309/6388.

Ringgit turut naik berbanding euro kepada 4.5206/5323 daripada 4.6566/6673 serta tinggi berbanding pound British pada 5.9598/9758 daripada 6.1238/1384.

UTAMAEKONOMIRinggit dijangka terus mengukuh minggu depan ekoran pengubahsuaian bajet dan keputusan Peguam...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium