Ribuan Premis Makanan, Hotel Tak Layak Kenakan Caj Perkhidmatan - pakdin.my

Ribuan premis makanan termasuk hotel bakal berdepan tindakan tegas kerana didapati menyalahgunakan notis caj perkhidmatan 10 peratus yang dikenakan kepada pelanggan.

Pengusaha premis terlibat didapati mengelirukan pengguna kerana bertindak mengenakan caj berkenaan walaupun tidak memenuhi syarat untuk berbuat demikian.

Mengikut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), hanya premis yang mempunyai perjanjian kolektif (CA) antara majikan dan kesatuan sekerja yang membolehkan caj berkenaan.

Sehubungan itu, kementerian itu dalam proses merangka peraturan baharu bagi mengenakan tindakan terhadap semua premis terlibat mengikut pindaan Akta Perlindungan Pengguna.

Pindaan akta itu membolehkan KPDNKK membuat semakan sama ada peniaga mempunyai CA bagi melayakkan mereka mengenakan caj perkhidmatan kepada pengguna dan sama ada peniaga sebagai majikan mengagihkan hasil kutipan daripada caj berkenaan kepada pekerja mereka.

Jika peniaga atau syarikat didapati gagal berbuat demikian, KPDNKK akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang. Setakat ini, rekod kementerian menunjukkan hanya 93 syarikat perhotelan dan makanan di negara ini mempunyai CA.

Berdasarkan tinjauan mStar Online, didapati ada empat restoran popular yang mempunyai lebih 500 cawangan di seluruh negara, sewenang-wenangnya mengenakan caj perkhidmatan 10 peratus walaupun tidak mempunyai CA.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, tahun lalu pihaknya mengenakan syarat kepada pengusaha supaya mempamerkan notis caj perkhidmatan, sebagai pemberitahuan kepada pengguna.

“Bagaimanapun, kaedah itu tidak hanya digunapakai pengusaha yang layak, malahan semua (peniaga) buat macam tu sekarang. Saya tidak fikir kedai makan biasa pun ada CA kerana secara logiknya mereka tiada kesatuan sekerja.

“Tetapi sebab tiada peraturan khusus ketika ini, maka peniaga sesuka hati memaparkan notis dan kenakan caj perkhidmatan kepada pengguna,” katanya dalam temuramah baru-baru ini.

UTAMARibuan Premis Makanan, Hotel Tak Layak Kenakan Caj Perkhidmatan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium