UtamaNASIONALMalaysia Usir Duta Besar...

Malaysia Usir Duta Besar Korea Utara Dalam Tempoh 48 Jam - pakdin.my

Duta Besar Korea Utara, Kang Chol, diisytiharkan sebagai Persona Non Grata dan perlu meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam dari jam 6 petang tadi.

Perkara itu disahkan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, dalam satu kenyaaan malam ini.

Anifah berkata, Kang Chol dipanggil ke Kementerian Luar di Putrajaya dan dijadualkan bertemu Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala kementerian, Raja Nushirwan Zainal Abidin, pada jam 6 petang tadi.

Bagaimanapun, duta itu atau pegawai kanan kedutaan berkenaan tidak menghadirkan diri.

“Justeru, Kementerian Luar Negeri melalui Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan Korea Utara sudah memaklumkan Kang Chol diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai Persona Non Grata.

“Beliau dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam dari masa mesyuarat iaitu jam 6 petang, 4 Mac 2017,” katanya.

Anifah berkata, pengusiran Duta Besar Korea Utara itu berlaku susulan keputusan kerajaan Malaysia seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa warga Korea Utara dikenakan visa untuk memasuki Malaysia bermula 6 Mac ini.

“Tindakan ini membuktikan Malaysia memandang berat cubaan menjadikan negara ini tempat menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Langkah ini adalah sebahagian proses kerajaan Malaysia untuk menilai semula hubungannya

Berikut adalah kenyataan penuh daripada Kementerian Luar.

20170304-duta-korea-utara-kang-chol

KENYATAAN OLEH YB DATO’ SRI ANIFAH HAJI AMAN

MENGENAI PENGISYTIHARAN KERAJAAN MALAYSIA BAHAWA TYT KANG CHOL, DUTA BESAR REPUBLIK DEMOKRATIK RAKYAT KOREA ADALAH PERSONA NON GRATA

  1. Susulan dari arahan saya, TYT Kang Chol, Duta Besar Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) telah dipanggil (summoned) ke Kementerian Luar Negeri. Beliau dijadualkan untuk bertemu dengan YM Ambassador Raja Nushirwan bin Zainal Abidin, Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri pada hari ini jam 6.00 petang.
  1. Walaubagaimanapun, TYT Kang Chol mahupun pegawai kanan dari Kedutaan tidak dapat menghadirkan diri ke Kementerian Luar Negeri.
  1. Oleh yang demikian, Kementerian Luar Negeri melalui Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan DPRK telah memaklumkan bahawa TYT Kang Chol telah diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai Persona Non Grata. Beliau dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam dari masa mesyuarat tersebut, iaitu 6.00 petang, 4 Mac 2017.
  1. Sekarang boleh diumumkan bahawa pada pukul 5.00 petang, Selasa, 28 Februari 2017, pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri, telah berjumpa dengan Delegasi Peringkat Tinggi DPRK yang diketuai oleh TYT Kim Song. Pada mesyuarat tersebut, Kerajaan Malaysia telah menuntut supaya Kerajaan DPRK mengemukakan permohonan maaf secara bertulis bagi dakwaan-dakwaan yang telah dilontarkan oleh Duta Besar DPRK terhadap Malaysia.
  1. Kerajaan DPRK juga telah dimaklumkan bahawa andainya jawapan tidak diterima selewat-lewatnya pukul 10.00 malam hari yang sama, maka Kerajaan Malaysia akan mengambil langkah-langkah untuk mempertahankan kepentingan negara.
  1. Hampir empat hari telah berlalu selepas tamatnya tempoh tersebut. Permohonan maaf masih belum diterima, Kerajaan DPRK juga tidak memberi isyarat yang mereka akan memohon maaf.  Oleh yang demikian, Duta Besar DPRK telah disytiharkan Persona Non Grata.
  1. Persona Non Grata diterjemahkan secara kasarnya bermaksud “Orang yang Tidak Dihargai”. Seseorang yang telah diisytiharkan sedemikian dilarang masuk atau terus berada disesebuah negara.  Ia merupakan bentuk kecaman yang paling serius yang boleh dikenakan ke atas seseorang diplomat asing.
  1. Ia juga seringkali digunakan untuk memberi isyarat tidak senang hati terhadap tingkahlaku atau dasar negara penghantar.
  1. Mengikut artikel 9 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik (1961), negara penerima boleh, pada bila-bila masa dan tanpa memberi sebarang alasan, mengisytiharkan duta besar atau ketua perwakilan atau pegawai diplomatik sebagai Persona Non Grata. Dalam hal sedemikian, negara penghantar akan memanggil pulang inidividu berkenaan ataupun menamatkan fungsi beliau di kedutaan atau perwakilan.  Jika negara penghantar tidak mahu berbuat demikian, maka negara penerima boleh menamatkan pengiktirafan terhadap individu tersebut sebagai ahli kedutaan atau perwakilan.
  1. Ingin ditekankan – Malaysia akan mengambil tindakan keras terhadap apajua penghinaan mahupun usaha untuk memburukkan nama negara.
  1. Harus diingat bahawa Duta Besar tersebut telah membuat tuduhan bahawa proses penyiastan terhadap warganegara DPRK yang meninggal dunia pada 13 Februari lalu menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai sesuatu yang hendak disembunyikan dan Malaysia bersekongkol dengan kuasa luar untuk memburukkan negara negara beliau. Pembebasan Encik Ri Jong Chol, seorang warganegara DPRK, dari tahanan polis disebabkan tidak mempunyai bukti yang cukup untuk didakwa, jelas menunjukkan bahawa penyiasatan tersebut tidak berat sebelah, adil dan telus, sesuai dengan sesebuah negara yang ditadbir berdasarkan undang-undang.
  1. Pengusiran Duta Besar DPRK datangnya sejurus selepas keputusan Kerajaan Malaysia, seperti yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri bahawa bermula hari Isnin, 6 Mac 2017, warganegara DPRK dikenakan visa untuk masuk ke Malaysia. Tindakan ini menunjukkan bahawa Malaysia memandang berat apajua cubaan untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.
  1. Langkah-langkah ini merupakan sebahagian proses Kerajaan Malaysia untuk menilai semula hubungannya dengan DPRK.

Menteri Luar Negeri
PUTRAJAYA
4 Mac 2017

Berkaitan

Baca Juga

Bom MK-82 yang tidak meletup ditemui di hutan Songkhla

Renjer menemui bom MK-82 yang tidak meletup di hutan Perlindungan Hidupan Liar Ton Nga Chang di wilayah selatan Songkhla. Pihak berkuasa percaya bom itu...

[VIDEO] Kereta api barang ke Malaysia tergelincir di Songkhla, siasatan sedang dijalankan

Penyiasat sedang mengenal pasti sama ada ia adalah kemalangan atau serangan oleh pemberontak di Selatan. Tren No 707 dari daerah Hat Yai, Songkhla ke Padang...

[VIDEO] Wanita warga emas maut kenderaan jatuh sungai di Marang

MARANG - Seorang wanita warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas lalu terjatuh dari jambatan ke dalam sungai di Kampung...

[VIDEO] Banjir kilat sekitar pusat bandar KL

Beberapa kawasan sekitar pusat bandar di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak kira-kira pukul petang tadi. Kuala Lumpur Command & Control Centre...

[VIDEO] Dadah: Farid Kamil didenda RM5,000, hukuman penjara diketepikan

Pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengenakan hukuman denda RM5,000 kerana menggunakan dadah, empat tahun lepas. Panel...

[VIDEO] Piala Dunia: Senegal sahkan kemaraan selepas benam Ecuador

AR-RAYYAN – Senegal mengesahkan slot kedua daripada Kumpulan A yang mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia apabila berjaya menewaskan Ecuador 2-1 pada aksi...

[VIDEO] Piala Dunia : Belanda menang bergaya, Qatar merana

DOHA – Pasukan Belanda menutup aksi peringkat Kumpulan A dengan bergaya selepas membenam pasukan tuan rumah, Qatar 2-0 sekali gus melepasi sasaran awal melangkah...

Dakwa PM ejen Israel, Hadi Awang disiasat

Bukit Aman mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar...

[VIDEO] 10 beranak terperangkap dalam kejadian kepala air di Sungai Pinang, Batang Kali

SERAMAI 10 beranak dilaporkan terperangkap dalam kejadian kepala air di air terjun Sungai Pinang, Batang Kali, petang tadi. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam...

[Video] #PialaDunia: Jerman masih ‘bernyawa’

SEPANYOL 1 A. Morata 62' JERMAN 1 N. Füllkrug 83' Manuel Neuer meluahkan rasa lega memandangkan perjuangan Jerman masih bernyala dalam Piala Dunia di Qatar selepas mencatat keputusan...

[Video] #PialaDunia: Maghribi benam Belgium 2-0

DOHA – Dua pemain gantian Maghribi, Abdelhamid Sabiri dan Zakaria Aboukhlal menghasilkan dua gol penting untuk mencipta kejutan menewaskan pasukan nombor dua dunia, Belgium...

[VIDEO] Piala Dunia: Costa Rica kembali ‘bernyawa’, benam Jepun 1-0

DOHA – Pasukan Costa Rica kembali bernafas pada kempen Piala Dunia 2022 kali ini selepas menewaskan Jepun 1-0 pada aksi kedua Kumpulan E sebentar...