Sudut Mengenali Institusi DiRaja - pakdin.my

#MalaysiaMemilih #MalaysiaBaru,

Saudara pengundi Pakatan Harapan yang budiman,

Mari kita buka buku sejarah SPM. Tahukah Anda? Kesultanan Melayu telah sekian lama menjadi pencetus identiti kita sebagai rakyat Malaysia. Namun pemahaman ini tidak boleh diperolehi secara menyeluruh sekiranya rakyat Malaysia gagal menghayati falsafah hidup rakyat sendiri yang hidup aman, damai dan harmoni selama enam dekad sejak Merdeka. Kuasa Kedirajaan ialah satu warisan yang tertanam dalam etos masyarakat kita yang seterusnya mengurniakan kedudukan yang begitu tinggi kepada Raja-Raja kita.

Keretakan dalam Institusi Kuasa Kedirajaan ini bermula dengan pertelagahan antara masyarakat Melayu sendiri, seperti yang begitu ketara sekarang antara penyokong Pakatan Harapan menentang penyokong Barisan Nasional. Inilah sebabnya campurtangan puak asing berlaku suatu masa dahulu. Kalau dahulunya British melemahkan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kali ini peranan campurtangan pula dimajukan oleh rakyat Malaysia sendiri yang bertopengkan puak politik yang konon-kononnya berjuang menentang gejala korupsi.

Saudara pengundi Pakatan Harapan, janganlah kita ekori haluan India, Indonesia, China, Kemboja atau Nepal yang membenarkan institusi raja mereka masing-masing dihapuskan disebabkan usaha puak politik untuk terus menghakis kuasa dan kedaulatan Raja-Raja mereka. Sejak kemenangan PH dalam PRU14, ramai penyokong mereka mendakwa Raja-Raja kita cuma memenuhi fungsi adat istiadat yang tidak relevan lagi. Konon-kononnya, Raja Melayu sendiri tertakluk kepada “nasihat” jemaah menteri di peringkat negeri mahupun Persekutuan. Kalau ikut konvensyen, Raja tiada pilihan selain akur akan semua keputusan ahli politik tanpa sebarang bentuk timbangtara.

Namun sebagai rakyat Malaysia, kita harus sampaikan bentuk protes yang paling sohor terhadap tanggapan ini. Kedaulatan raja-raja tiada kena mengena dengan bangsa ataupun agama kita dalam masyarakat majmuk Malaysia. Ada dua sebab yang mendasari kewajipan semua rakyat Malaysia untuk terus mempertahankan Institusi Raja-Raja kita. Yang pertama, disebabkan Perlembagaan kita sendiri dan kedua, entiti Budibicara yang diamanahkan khusus kepada Raja.

Saudara pengundi Pakatan Harapan, apa itu “Institusi”? Dalam takrif, Institusi tidak selalunya perlu melibatkan sesuatu organisasi atau bangunan. Adat, amalan, budaya dan norma sosial turut membentuk Institusi selagi mereka telah berakar umbi, dikukuhkan dan mendapat kedudukan khas dalam masyarakat kita. Dalam kata lain, Institusi seumpama inilah yang memberikan identiti kita sebagai negara. Hakikatnya, kedaulatan Raja-Raja telah sekian lama membentuk etos sosio-politik kita.

Merujuk kembali perkembangan politik Malaysia sejak PRU14, mungkin perkara yang paling menyedihkan ialah kemerosotan tahap penghormatan yang diberikan pengundi Pakatan Harapan kepada Institusi Diraja Malaysia. Ramai yang menggangap kedaulatan Yang diPertuan Agong boleh dihakis sewenang-wenangnya untuk mematuhi suasana sosio-politik liberal baru yang mereka impikan. Penghakisan ini telahpun dimulakan dengan begitu mendadak dan radikal, tanpa mengira perasaan jutaan rakyat Malaysia lain yang sebaliknya inginkan pemuliharaan Institusi mereka.

Mempersoalkan nasihat Raja dalam isu perlantikkan Peguam Negara tidaklah salah, namun cara persoalan itu dibuat yang melahirkan ketidakpuasan ramai rakyat Malaysia. Posting dan Meme yang kurang sopan dan berbau hasutan oleh puak Wechat mungkin boleh dimaafkan, namun puak-puak tersebut perlulah diajar dan mendapat didikan dalam isu-isu negara, khususnya Institusi Raja-Raja Melayu.

Saudara pengundi Pakatan Harapan, Perlembagaan Persekutuan kita sendiri mengandungi pelbagai peruntukan yang secara harfiah dan amalan telah membina identiti kita sebagai rakyat Malaysia menerusi Institusi Yang Dipertuan Agong. Perkara 32 menamakan Yang diPertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara dalam ketiga badan Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman. Perkara 55 menjamin kuasa Baginda memanggil, menangguh atau membubar Parlimen, Perkara 66 menjamin kuasa Baginda memeteraikan mana-mana Rang Undang-Undang yang diluluskan, Perkara 42 menjamin kuasa baginda sebagai Ketua Tertinggi ATM, Perkara 153 menjamin kuasa baginda memelihara kedudukan dan hak istimewa orang Melayu (disamping memelihara kepentingan bangsa lain) dan Perkara 3 menjamin kuasa baginda sebagai Ketua Agama Islam.

Pengundi yang bacul sahaja berkeras kepala enggan memahami julat kuasa Yang diPertuan Agong dan bergegas mengkritik baginda sebab ‘menangguh’ perjumpaan dengan bakal Perdana Menteri tamatnya PRU14. Pengundi yang bacul sahaja enggan menyedari bahawa Perkara 40 dan 43 memberikan budibicara kepada baginda untuk melantik Perdana Menteri daripada MANA-MANA ahli Dewan Rakyat yang baginda rasa mendapat kepercayaan. Jangan lupa, baginda juga dijamin kuasa untuk melucutkan mana-mana Menteri atau Timbalan Menteri, mengisytiharkan darurat dan menggubal undang-undang sekiranya kedua Dewan Parlimen gagal bersidang secara serentak.

Dan baginda turut dijamin kuasa memperkenankan perlantikkan Peguam Negara atas nasihat Perdana Menteri.

Persoalannya di sini, perlukah Yang diPertuan Agong akur dengan “nasihat” Perdana Menteri melantik Peguam Kanan Tommy Thomas semata-mata kerana Pakatan Harapan telah memenangi PRU14? Apa sebenarnya maksud “Raja Berperlembagaan”? Apa sebenarnya dimaksudkan dengan “Budi Bicara” Yang diPertuan Agong seperti termaktub dalam Perkara 40? Akalbudi (common sense) yang biasa mencadangkan takrif “budi bicara diRaja” (royal discretion) di sini bermaksud baginda TIDAK PERLU menerima nasihat Perdana Menteri ataupun jemaahnya untuk melaksanakan apa jua amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada baginda. Inilah sebabnya baginda masih tekun mencari penjelasan ilmiah dan empirik sebelum mengundang Tun Mahathir membentuk kerajaan baru walapun didesak pengundi Pakatan Harapan lewat malam Mei 10.

Persoalan seterusnya: Bolehkan Raja-Raja Melayu menolak nasihat pemimpin politik yang menang pilihanraya? Sesungguhnya, pasti. Sekiranya baginda memutuskan bahawa keputusan ahli politik tersebut memudaratkan (ataupun berupaya memudaratkan) keharmonian rakyat Malaysia. Sekali lagi, hakikat ini menjelma dalam penangguhan keputusan baginda menerima pencalonan individu yang tiba-tiba dilonjakkan sebagai Peguam Negara tanpa penelitian terperinci akan latarbelakang, pegangan, kefasihan bahasa dan rekod khidmat lepas. Kebijaksanaan baginda sekali lagi tertera dalam budi bicara baginda membuat pertimbangan yang membawa kepada kesudahan yang terbaik untuk Malaysia dalam kepastian bahawa kepentingan negara, bangsa dan agama akan tetap terjaga.

Saudara pengundi Pakatan Harapan, janganlah bermain dengan api, sebab api cuma menjadi kawan bila kecil. Jangan biarkan Institusi Raja-Raja Melayu kita tercalar seperti Thailand di mana Raja Bhumibol Adulyadej terpaksa menangani percubaan rampasan kuasa sehingga 18 kali. Janganlah kita berkesudahan seperti negara Nepal pula yang sukarela memansuhkan tradisi Raja berkurun lamanya dalam kerakusan puak-puak tertentu berebutkan label “Negara Sekular” dan kini berdepan dengan pengaruh komunis.

Institusi Raja sudah terlalu lama menyatupadukan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau kedudukan sosial kita sebagai rakyat Malaysia. Di saat genting ini, Institusi raja kekal sebagai simbol perpaduan kebangsaan dan lebih lagi, mengandungi sebilangan tanggungjawab dan amanah seperti yang tertera dalam semua peruntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Rakyat Malaysia yang disegani, buatlah sesuatu. Bangkitlah. Sudah cukup kita duduk berpeluk tubuh melihat institusi negara dihakis, diperlekehkan, dianggap remeh, dicaci, dimaki dan dibiarkan merosot, semata-mata untuk merealisasikan wawasan seorang Pemimpin yang gila kuasa, tamak haloba dan bersifat memusnah.

Penulis Edmund Burke pernah berkata: “Satu-satunya perkara yang perlu untuk mensejahterakan kejahatan ialah golongan insan mulia yang gagal bertindak.” Ibarat sebilangan besar rakyat Malaysia sekarang. Cukuplah kita benarkan golongan penderhaka ini bermaharajalela dan menjadi penentu nasib 31 juta rakyat Malaysia lain yang cintakan kedamaian. Kembalilah pertahankankan Institusi Diraja kita sepertimana kita telah lakukan sejak tahun 1957. Disamping Institusi Raja, moga usaha kita bersama terus memartabatkan semua Institusi Negara lain dan segala yang membentuk jatidiri kita sebagai rakyat Malaysia.

Sumber:
https://www.facebook.com/100002314914591/posts/1813082252112254/

UTAMAPOLITIKSudut Mengenali Institusi DiRaja

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium