Walau sudah lebih dua tahun Parti Pribumi Bersatu (PPBM) ditubuhkan, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi tersasul menyebut Umno.
Terbaru berlaku ketika mengumumkan tarikh persidangan tahunan parti itu, semalam, hingga mengundang ketawa pemimpin dan wartawan.
“Yang pertama saya nak umumkan adalah kita menetapkan persidangan Umno tahunan kedua…,” kata pemimpin berusia 93 tahun itu, seperti dilapor.
“Bersatu, Bersatu,” sahut beberapa pimpinan parti.
Pengerusi PPBM kemudian hanya membuat reaksi ‘comel’ dan ketawa kecil.
Pada 1 Mei lalu, Mahathir pernah tersilap apabila meminta orang ramai tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) ketika berucap dalam satu ceramah di Dungun.
Malah ketika berkempen di Pantai Dalam beberapa hari kemudian, beliau meminta pengundi menyokong calon Barisan Nasional (BN).
Julai tahun lepas, di ibu pejabat PKR, perdana menteri juga mengumumkan Mohamad Sabu, presiden Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai presiden Umno.