ICERD boleh kikis hak istimewa Melayu — Mohd Hazmi Mohd Rusli - pakdin.my

Malaysia adalah negara yang lahir dari negeri-negeri Tanah Melayu yang merdeka pada tahun 1957 dan kemudiannya menjadi Malaysia setelah penyatuan bersama Sabah dan Sarawak pada tahun 1963 (Singapura menyertai Persekutuan tetapi dikeluarkan pada tahun 1965). Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan bahawa hak-hak istimewa bagi orang-orang Melayu di Malaysia, yang merupakan kaum Bumiputera di negara ini, akan dilindungi sewajarnya.

Kini negara sedang menuju ke arah meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) – konvensyen antarabangsa yang menganjurkan kesaksamaan dan kesamarataan untuk semua kaum.

Apakah benar ICERD tidak akan menghapuskan hak-hak istimewa Melayu/Bumiputra?

Kepulauan Melayu/Nusantara

Kepulauan Melayu juga pernah menyaksikan jatuh bangunnya kerajaan-kerajaan rumpun Melayu lain yang tidak kurang hebatnya seperti Srivijaya di Sumatera, Majapahit di Pulau Jawa, Johor-Riau di Tanah Melayu, Palembang di Sumatera, Brunei di Borneo, dan Gowa di Makassar.

Fakta-fakta sejarah ini jelas membuktikan bahawa orang-orang Melayu sangat berpengaruh di Nusantara, sehinggakan seorang sarjana British pada kurun kesembilan belas, Alfred Wallace, menamakan Nusantara sebagai “Kepulauan Melayu”.

Era penjajahan

Penjajahan Barat bermula di Kepulauan Melayu apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Bagaimanapun, kebanyakan kawasan-kawasan di Kepulauan Melayu pada ketika itu masih lagi merdeka dan bangsa rumpun Melayu masih lagi bergerak secara bebas meneroka kawasan-kawasan di dalam wilayah Nusantara tanpa sebarang halangan sehinggalah datangnya pihak British.

Sewaktu zaman penjajahan, British menggalakkan perpindahan besar-besaran kaum Cina ke Tanah Melayu dari provinsi selatan negara China, rantau yang sememangnya terletak di luar Kepulauan Melayu, untuk bekerja sebagai kuli dan buruh kasar di lombong-lombong bijih timah yang kebanyakannya terletak di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan. Pendatang-pendatang ini masuk ke Tanah Melayu dengan satu tujuan – peluang pekerjaan – tanpa niat untuk menetap selama-lamanya di Tanah Melayu.

Orang-orang India juga dibawa masuk ke Tanah Melayu dari jajahan takluk British di India dan Ceylon sebagai buruh dan kuli. Kebanyakan imigran ini adalah lelaki dewasa bujang yang memang tidak berniat untuk menetap di Tanah Melayu kerana mereka mempunyai keluarga yang menunggu di India dan Sri Lanka. Imigrasi secara besar-besaran ini, tidak seperti penghijrahan orang-orang Melayu anak dagang, tidak dilakukan secara sukarela kerana mereka dibawa masuk oleh pemerintah British untuk mengusahakan lombong-lombong bijih timah dan perkebunan getah di Tanah Melayu. Imigran-imigran ini sudah tentunya mempunyai bahasa, adat, agama dan budaya yang berbeza dengan orang-orang Melayu di Tanah Melayu pada ketika itu.

Kedudukan orang-orang Cina dan India di zaman tersebut tidak ubah seperti pekerja-pekerja migran yang dibawa masuk dari Indonesia dan Bangladesh di Malaysia pada hari ini kerana mereka tidak dianggap rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan mahupun rakyat negeri-negeri Tanah Melayu.

Kemerdekaan

Setelah Jepun berundur dari Tanah Melayu pada tahun 1945, pihak British memperkenalkan gagasan Malayan Union, yang bakal meranapkan hak-hak istimewa orang Melayu. Gagasan ini dibantah dah digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu, gagasan yang menjamin hak-hak istimewa orang Melayu dengan mengawal pemberian kerakyatan kepada kaum pendatang bukan Melayu pada ketika itu.

Namun, demi mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, pemimpin-pemimpin Melayu telah berunding dengan pemimpin-pemimpin dari kaum Cina dan India dengan syarat hak istimewa orang-orang Melayu dipelihara, bahasa Melayu dijamin sebagai bahasa kebangsaan, Islam diiktiraf sebagai agama rasmi dan kedudukan raja-raja Melayu disanjung tinggi, yang mana semua perkara-perkara ini telahpun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Berlandaskan kompromi ini, jutaan kaum imigran Cina dan India akhirnya berhasil mendapatkan kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu menjelang kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Formulanya mudah sahaja. Hak-hak orang Melayu terjaga, kaum-kaum bukan Melayu boleh mendapatkan kerakyatan.

Ratifikasi ICERD

Malaysia akan meratifikasi ICERD yang menjamin kesamarataan dan kesaksamaan untuk semua kaum di Malaysia. Walaupun undang-undang antarabangsa ini tidak terpakai di Malaysia secara automatik, akan tetapi, setelah Malaysia menandatangani dan meratifikasi ICERD, Malaysia terikat untuk melaksanakan apa yang diperuntukkan dalam ICERD dalam sistem perundangan dan akta-aktanya.

Ini berdasarkan Perkara 26 Konvensyen Vienna Mengenai Undang-undang Triti yang mengatakan triti yang telah ditandatangani dan diratifikasi mesti dipatuhi oleh negara anggota triti tersebut. Malaysia perlu meminda undang-undang domestiknya bagi memastikan ia sehaluan dengan prinsip-prinsip yang diterapkan dalam ICERD.

Kesimpulan

Suka atau tidak, secara umum, sekiranya Malaysia menjadi negara anggota ICERD, hak-hak yang diperuntukkan kepada orang-orang Melayu/Bumiputera menerusi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan akan terhakis sedikit demi sedikit bagi memenuhi kehendak ICERD. Memang betul majoriti dua pertiga ahli parlimen diperlukan untuk meminda Perkara 153. Walau bagaimanapun, pengikisan hak-hak Melayu-Bumiputera ini boleh dilaksanakan secara pengurangan kuota, perolehan ataupun peruntukan dalam pemberian hak-hak istimewa tanpa perlu menghapuskannya secara total kerana langkah-langkah ini tidak bertentangan dengan Perkara 153 secara langsung.

Melainkan Malaysia membuat pengisytiharan sewaktu meratifkasi ICERD bahawa dengan menjadi negara anggota ICERD, hak-hak istimewa orang-orang Melayu/Bumiputera akan dipelihara sebaiknya, orang-orang Melayu/Bumiputera harus menerima hakikat bahawa hak-hak yang diperuntukkan kepada mereka tidak sehaluan dengan semangat ICERD.

Selama kemerdekaan, rakyat Malaysia berbilang kaum secara umumnya menghormati hak masing-masing dan ini menjamin keamanan negara. Orang-orang Melayu/Bumiputera tidak mempersoalkan hak kerakyatan kaum bukan Melayu/Bumiputera dan sebaliknya, rakyat bukan Bumiputera tidak mempersoalkan hak-hak istimewa orang-orang Melayu/Bumiputera.

Persoalannya sekarang, kenapa hak kaum Melayu/Bumiputera yang diganggu gugat? Sekiranya perkara ini dilihat dari perspektif lain, bersediakah kaum bukan Bumiputera melepaskan hak kerakyatan mereka sekiranya orang-orang Melayu/Bumiputera melepaskan hak-hak istimewa mereka?

* Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia

 

UTAMAGAYA HIDUPAGAMAICERD boleh kikis hak istimewa Melayu — Mohd Hazmi Mohd Rusli

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium