Tubuh segera RCI Tabung Haji - pakdin.my

SEJAK beberapa minggu lalu Tabung Haji (TH) telah menjadi sasaran pendedahan demi pendedahan yang tampak bertujuan memburukkan kepimpinan lama.

Kerajaan boleh sahaja menjalankan siasatan secara senyap dan terperinci sebelum mendedahkan hasil dapatan kepada umum. Namun mereka memilih untuk membuat beberapa pendedahan yang dilihat sebagai terburu-buru dan menjejaskan imej badan berkenaan sebagai sebuah badan pengurusan kewangan umat islam.

Justeru kerajaan perlu mempertimbangkan usul Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 9 Disember lalu supaya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti pelbagai percanggahan laporan mengenai TH. Cadangan ini telah mendapat sokongan pemimpin Islam lain seperti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Penubuhan RCI ini wajar kerana orang Islam melihat ada kegopohan dan sikap semberono Menteri Hal-Ehwal Agama Islam, Dr Mujahid Yussuf, dalam menyerang pengurusan TH yang lepas sehingga menjejaskan imej badan itu sendiri.

Adalah sangat menyedihkan melihat kegopohan membuat pelbagai pendedahan tanpa siasatan mendalam terlebih dahulu bukannya kerana iltizam mahu memperbaiki pengurusan kewangan TH. Jika kita perasan, pendedahan demi pendedahan ini dibuat menjelang himpunan membantah hasrat kerajaan Malaysia untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Seminggu sebelum Himpunan Bantah ICERD, pengurusan TH membuat laporan polis dan kemudiannya membuat kenyataan media mendakwa wang Yayasan Tabung Haji (YTH) telah disalahgunakan. Anehnya ini dibuat tanpa melakukan inkuiri dalaman terlebih dahulu.

Berantakanlah dalam kalangan orang Islam kononnya wang TH telah diselewengkan. Apa yang tidak dijelaskan kepada umum ketika itu ialah dana YTH bukanlah seratus peratus wang dari TH. Dari RM22 juta dana YTH hanya RM7 juta dari TH sendiri. Manakala selebihnya adalah sumbangan daripada korporat dan orang perseorangan.

Pendedahan seperti laporan mengenai Yayasan Tabung Haji digunakan sebagai alat politik adalah sesuatu yang sangat melucukan dan bertujuan mengelirukan orang ramai. Faktanya apa? Adakah ada penerima bantuan Yayasan TH dari kalangan orang kaya? Adakah kepada kalangan ahli parti politik tertentu sahaja? Jika bantuan sampai kepada mereka yang layak tanpa diskriminasi politik ia bukanlah masalah walaupun programnya diadakan bersama parti politik mana pun.

Kemudiannya Mujahid mendedahkan pula kononnya pengurusan lama melanggar Akta Tabung Haji apabila membayar hibah (dividen) kepada pendeposit Tabung Haji ketika aset TH kekurangan RM4 bilion berbanding wang pendeposit.

Memang Akta Tabung Haji menyatakan tiada hibah sepatutnya diberi jika nilai aset lebih rendah berbanding nilai pendeposit. Namun kena ingat pemberian hibah ini bukan kepada Umno atau Azeez Rahim. Ia pemberian hibah kepada semua pendeposit Tabung Haji.

Apa yang tidak dinyatakan ialah TH masih membuat keuntungan walaupun nilai aset mereka jatuh. Ada beza antara nilai aset dan keuntungan. Aset Tabung Haji boleh sahaja meningkat dan susut dalam sesuatu masa bergantung kepada pelaburan dan perniagaan mereka ceburi.

Misalnya jika RM10 bilion wang TH dilaburkan kepada Bursa Malaysia, tiba-tiba saham-saham ini jatuh maka nilai aset TH pun akan jatuh. Namun ini tidak bermakna TH tidak mendapat keuntungan daripada pelaburan mereka di Bursa Malaysia.

TH tidak boleh menyimpan tunai semua wang pendeposit yang berjumlah lebih RM74 bilion itu. Ia mesti dilaburkan atau TH tidak boleh membayar dividen dan memberi subsidi kepada jemaah haji. Justeru jika ada tahun-tahun tertentu aset tabung haji susut nilai berbanding jumlah wang pendeposit ia bukan bermakna pengurusan curi wang pendeposit.

TH adalah antara institusi orang Islam yang terbesar di negara ini. Jika siasatan mendapati ada keperluan pendakwaan maka buatlah pendakwaan. Namun jika anda baca laporan-laporan mengenai TH sehari dua ini ia bukanlah sesuatu telah konklusif sebagai penyelewengan wang. Ia hanya perbezaan falsafah pengurusan kewangan.

Lebih mengelirukan segala hiruk-pikuk menyerang TH ini bertentangan dengan Laporan Ketua Audit Negara yang meletakkan TH sebagai agensi dalam kategori “Pendapat Tanpa Teguran”. Ini merupakan kategori teratas dalam laporan audit negara.

Sesiapa sahaja yang waras akan bersetuju bahawa jika ada penyelewengan dalam institusi berkaitan Islam maka tindakan tegas harus diambil tidak pedulilah, sama ada membabitkan pemimpin Umno atau tidak.

Jangan kata Tabung Haji, tabung masjid sekali pun harus diurus dengan jujur dan amanah. Namun tindakan harus dibuat mencerminkan keadilan sebenar bukannya sekadar alat permusuhan politik antara kerajaan dengan Umno.

Tabung Haji tidak boleh dijadikan kambing hitam politik mana-mana pihak, apatah lagi membenarkan menteri berkenaan bersikap marahkan nyamuk dibakarnya kelambu.

Oleh: Ab Jalil Backer

https://pakdin.my/tag/tabung-haji

UTAMAPOLITIKTubuh segera RCI Tabung Haji

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium