Himpunan Melayu Bangkit, Perpaduan Ummah 2.0 bukan untuk isytihar perang - pakdin.my

Perhimpunan Melayu Bangkit dan Perpaduan Ummah 2.0 yang bakal diadakan pada 30 Ogos ini di Pekan Rabu, Pasir Salak bukan untuk mengisytiharkan atau membangkitkan semangat untuk berperang kepada sesiapa.

Sebaliknya, himpunan itu dibuat bagi memberi amaran keras kepada pihak yang cuba mengganggu gugat dan menghakis kedudukan Melayu dan Bumiputera di negara ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Himpunan UMNO Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, bangsa Melayu dan orang Islam perlu terus bersemangat dalam perjuangan dan tidak boleh luntur dalam mengekalkan maruah bangsa.

“Tidak ada, mana ada perang, perang kena bawa senjata, meriam, peluru berpandu. Orang UMNO tak ada satu pistol pun, tak ada apa senjata. Yang kita nak menyuarakan suara kita.

“Kita bukan bertujuan nak ambil hak orang lain untuk mencabar bukan Melayu, India atau sebagainya.

“Kita bercakap soal mempertahankan hak Melayu dan umat Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan. Itu hak kita jangan diusik, diungkit,” katanya pada sidang media khas di kediamannya di Damansara di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata demikian ketika diminta mengulas kesesuaian himpunan itu diadakan ketika hubungan kaum tegang.

Tajuddin berkata, pada masa ini bangsa Melayu menghadapi cabaran yang begitu hebat ekoran banyak insiden dan kejadian yang berlaku selepas peralihan kerajaan.

Ujarnya, sejak pentadbiran Putrajaya diambil alih, keadilan tidak dapat ditegakkan terutama kepada bangsa Melayu dan umat Islam.

Malah, Tajuddin berkata, kerajaan nampaknya tidak berupaya melindungi orang Melayu dan umat Islam dalam beberapa isu seperti kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib, kes Syed Danial dan beberapa kes lagi.

“Nampaknya Pakatan Harapan tidak berupaya untuk melindungi bangsa Melayu, Bumiputera dan tidak beri keadilan kepada bangsa kita. Jadi nak tunggu apa lagi. Ini masa kita bangkit,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan kira-kira 50,000 orang akan hadir dalam himpunan berkenaan ekoran maklum balas yang diterima selepas promosi mengenai perhimpunan itu tersebar luas.

Katanya, perhimpunan yang bakal diadakan itu juga mampu menandingi perhimpunan ICERD yang pernah diadakan di ibu negara sebelum ini. – MalaysiaGazette

UTAMAPOLITIKHimpunan Melayu Bangkit, Perpaduan Ummah 2.0 bukan untuk isytihar perang

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium