PEMANGKU ketua jurulatih Perak FC, Shahril Nizam Khalil menyifatkan aksi terakhir Liga Super menentang Sabah FC malam esok cukup penting dalam usaha meraih slot ke kancah Piala Malaysia musim ini.
Kata Shahril, sekiranya pasukannya dapat mengutip mata berharga, sedikit sebanyak ia dapat mengubati kekecewaan penyokong The Bos Gaurus selepas sah tersingkir ke Liga Premier musim depan.
Justeru, Shahril mengakui barisan pemain perlu fokus untuk memastikan keputusan positif dapat diraih memandangkan UiTM FC juga masih berpeluang untuk layak sekiranya mereka menang ke atas Sri Pahang FC hari ini.
“Secara keseluruhan, pemain-pemain saya masih menunjukkan kesungguhan dalam latihan dan cukup positif kerana kita dah tahu kedudukan pasukan macam mana, jadi sekurang-kurangnya satu mata sudah cukup untuk layak ke Piala Malaysia.
“Walaupun kita dah jatuh ke Liga Premier, perlawanan terakhir ini tetap penting dan kita pun dah lama tak rasa kemenangan, jadi harapnya kita dapat raih tiga mata sebagai penutup liga musim ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Shahril yang menggantikan posisi Chong Yee Fatt sejak dua bulan lalu mengakui akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan pasukannya pada aksi di Stadium Perak, Ipoh nanti.
“Saya ada melakukan sedikit rombakan di mana Nazmi Ahmad digantung sebab tiga kad kuning, Rafiuddin Rodin pula ada sedikit kecederaan.
“Mungkin posisi penjaga gol akan diberikan kepada Azri Ghani selepas kembali daripada kem latihan skuad Malaysia bawah 20 tahun (B-20) , jadi kami akan pantau dia juga untuk aksi Ahad ini”, katanya.