GEORGETOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa seperti seorang ‘lidah biawak’ apabila cuba melibatkan DAP dalam kemelut politiknya di dalam UMNO.
Dalam masa sama, beliau turut menilai Annuar sebagai hilang kewibawaan dan tidak ikhlas sekali gus mengingatkan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkenaan supaya tidak mempergunakan DAP untuk menyelamatkan karier politiknya.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, dakwaan Annuar kononnya ada kerjasama antara DAP dan pemimpin UMNO untuk membentuk pakatan baharu di peringkat Kerajaan Pusat sama sekali tidak benar dan tidak berasas.
Malah, Guan Eng turut menegaskan beliau lebih banyak berkomunikasi dengan Annuar berbanding Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahupun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Jika saya berbual dengan Annuar sebagai menteri lebih banyak daripada Zahid atau Najib, jadi bagaimana beliau boleh sebut ada kerjasama antara DAP untuk bentuk kerajaan dengan UMNO sedangkan perkara ini tidak pernah dibincangkan?
“Saya melihat Annuar mahu menjual UMNO untuk Bersatu, tapi jika mahu melakukan perkara itu sekali pun, jangan perdagangkan DAP, kerana kita tidak terlibat langsung,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Annuar dalam sidang akhbarnya selepas dipecat sebagai Setiausaha Agung BN semalam mendakwa, UMNO kini sedang bersiap untuk bekerjasama dengan DAP untuk membentuk kerajaan baharu.
Memperkuatkan dakwaan itu, kata Annuar, ahli-ahli parti itu telah bertemu dengan pemimpin DAP untuk membincangkan perkara tersebut.
Dalam pada itu, Guan Eng turut mengingatkan Annuar supaya tidak terus membuat kenyataan melibatkan DAP dalam polemik politik yang sedang dihadapinya ketika ini.
“Ini kerana DAP tidak berminat (dengan isu dalaman UMNO), jadi mengapa mahu mengaitkan dengan kita? Tindakan itu jelas tidak berprinsip,” katanya.
Rujukan:
* [Video] Sentimen anti keluarga Lim memuncak dalam DAP
* 20 wakil rakyat DAP masuk MCA?
* Didakwa sertai MCA, ADUN DAP diberi surat tunjuk sebab