Kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary di Dewan Rakyat semalam menjelaskan segala-galanya kepada masyarakat umum berkaitan tohmahan serta dakwaan ‘mencuri’ wang lembaga Tabung Haji sebelum ini.
Ketua UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata perkembangan berkenaan juga menunjukkan tuduhan terhadap Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang sebelum ini Pengerusi Tabung Haji (TH) lebih bersifat politik dan bukannya suatu realiti.
“Hari ini kita dikejutkan dengan berita, tiada sebarang kertas siasatan dibuka ke atas mana-mana pihak berhubung dakwaan ‘mencuri’ wang Lembaga Tabung Haji setakat ini. Kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyebut ia termasuk dakwaan siasatan yang dikatakan dibuat terhadap bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. Katanya setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka ke atas mana-mana pihak atas tuduhan mencuri wang TH termasuklah terhadap Abdul Azeez yang sering kedengaran.
“Ahmad Marzuk membuat kenyataan tersebut ketika menjawab soalan tambahan Abdul Azeez (BN-Baling) mengenai pembukaan kertas siasatan berhubung pelbagai dakwaan dan pertuduhan membabitkan penyelewengan yang berlaku di TH. Untuk rekod, Abdul Azeez dilantik sebagai Pengerusi TH pada tahun 2013 sebelum meletak jawatan beberapa hari selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Azhari seterusnya mengharapkan agar Malaysia bebas daripada fitnah yang telah menyebabkan negara berada dalam keadaan tidak stabil beberapa tahun lalu dan hentikan fitnah yang merosakkan negara serta kredibiliti pemimpin yang ikhlas berjuang.
“Nah, satu lagi pembohongan telah dijelaskan, diharap tiada lagi kata-kata sinis terhadap Abdul Azeez selepas ini. Ini membuktikan tuduhan terhadap Abdul Azeez lebih bersifat politik dan bukannya suatu realiti. Semoga Malaysia bebas daripada fitnah yang telah menyebabkan negara berada dalam keadaan tidak stabil beberapa tahun lalu,” tambahnya.
Memetik laporan, semalam di Dewan Rakyat Ahmad Marzuk memaklumkan tiada sebarang kertas siasatan dibuka oleh pihak berkuasa ke atas mana-mana individu atas dakwaan ‘mencuri’ wang Lembaga Tabung Haji.
Beliau berkata ia termasuk dakwaan kononnya siasatan dibuat ke atas Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling).
“Setakat ini tidak ada sebarang kertas siasatan dibuka ke atas mana-mana pihak atas tuduhan mencuri wang TH termasuklah Yang Berhormat Baling yang sering kedengaran,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Azeez sama ada wujud kertas siasatan yang dibuka bagi menyiasat pelbagai dakwaan dan pertuduhan membabitkan penyelewengan yang berlaku di TH.