MIRI: Gara-gara malu setelah dipercayai disindir ustaz kerana tidak pandai melaungkan azan, seorang pelatih sebuah institut kemahiran cuba membunuh diri dengan bergayut pada paip saluran air hujan di kaki bumbung bangunan asrama setinggi tiga tingkat dalam kejadian di Permyjaya di sini, awal pagi semalam.
Bagaimanapun, kepantasan dan kecekapan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Lopeng berjaya menyelamatkan pelatih berusia 18 tahun tersebut sebelum dia sempat terjun.
Menurut sumber, kejadian sekitar jam 7 pagi itu disedari pihak pengurusan institut kemahiran terbabit setelah dimaklumkan oleh beberapa pelatih lain yang ternampak seorang rakan mereka berdiri di tepi tingkap sebelah luar di tingkat tiga asrama pelatih lelaki.
Pelatih terbabit dipercayai keluar ke bahagian tepi tingkap itu dengan menanggalkan kepingan cermin tingkap di salah sebuah bilik asrama di bangunan tersebut.
Berikutan itu, pihak pengurusan institut kemahiran terbabit terus menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan segera.
Sepasukan 13 anggota bomba dari Balai Bomba Lopeng bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian untuk menghulurkan bantuan.
Turut kelihatan bergegas ke tempat kejadian ialah ayah serta seorang adik lelaki pelatih terbabit.
Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas dikenali sebagai ‘tangga cakera putar’ untuk menyelamatkannya, namun tatkala proses menaikkan tangga dilakukan, pelatih terbabit tiba-tiba dilihat melompat lalu bergayut pada sebatang paip saluran air hujan di kaki bumbung asrama berkenaan.
Keadaan cemas itu turut menyebabkan beberapa pelatih serta kakitangan institut yang berada di bawah menjerit kerana bimbang dia akan terjatuh.
Setelah bergayut lebih 10 saat, pelatih itu akhirnya berjaya diselamatkan anggota bomba yang bertindak menarik kakinya untuk masuk ke dalam bakul ‘tangga cakera putar’ berkenaan.
Semasa naik, anggota bomba turut membawa bersama ayahnya sebagai usaha memujuknya dan sebaik diturunkan, dua beranak itu kelihatan saling berpelukan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Mangsa bertindak sedemikian dipercayai akibat masalah dalaman di institut kemahiran terbabit dan polis menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui punca atau motif sebenar mengapa dia bertindak sedemikian.
“Buat masa ini, polis menahan pelatih terbabit untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh diri,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba kerana berjaya menyelamatkan remaja terbabit yang merupakan pelatih semester satu dalam bidang penyediaan pastri di institut kemahiran berkenaan.
Difahamkan pada petang kelmarin, pelatih terbabit dipercayai disuruh oleh seorang ustaz melaungkan azan, namun kemudian dia dipercayai disindir oleh ustaz terbabit kerana tidak pandai berbuat demikian.
Dia yang dipercayai malu dengan sindiran ustaz terbabit serta ejekan pelatih-pelatih lain, selain didakwa mengalami tekanan pelajaran, dipercayai bertindak nekad dengan cara sedemikian.