PRN Melaka: Kerajaan Melaka tumbang, jangan salahkan Umno lagi, kata Najib #pakdin.my

Rakyat mesti berhenti menyalahkan Umno kerana tumbangnya kerajaan negeri Melaka bulan lalu, kata bekas Perdana Menteri Najib Razak hari ini, susulan laporan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat telah menemui pemimpin pembangkang terlebih dulu.

“Itu dia. Perjumpaan dan persetujuan SEBELUM 4 ADUN tarik sokongan. Jadi, jangan salahkan Umno lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook dipercayai merujuk kenyataan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim awal hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, rakyat Melaka mesti mempertimbangkan siapa dalang di sebalik apa yang berlaku, jika melihat kepada kenyataan Anwar.

Katanya, jelas PH sanggup bekerja dengan kumpulan berkenaan kecuali bekas ahli DAP Norhizam Hassan Bakti.

Shahril berkata beliau telahpun sebelum ini menegaskan Umno tidak wajar dipersalahkan kerana tindakan dua bekas ahlinya di Melaka iaitu Idris Haron dan Nor Azman Hassan.

“Umno tegas dan tangkas untuk memecat keahlian mereka,” katanya.

“Apapun kelemahan Umno, tiada siapa boleh pertikai parti mengambil tindakan jelas dalam hal ini, dalam masa 24 jam. Kita tunggu apakah ini bermaksud kelak rakyat akan diminta pilih tiga individu ini atas tiket PH. Jika tidak sekalipun, nampaknya PH menghargai ‘jasa’ dan menganggap mereka sebagai aset.”

Terdahulu hari ini, Anwar telah mempertahankan empat wakil rakyat itu, dengan berkata tindakan mereka adalah untuk mengembalikan mandat kepada PH, susulan “Langkah Sheraton” pada Februari 2020 yang membawa kepada kejatuhan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan.

Beliau dipetik berkata, Idris, Noor Effandi Ahmad dan Azman telah menemui pemimpin Pakatan Harapan sebelum menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, bersama Norhizam.

Anwar, yang juga Presiden PKR berkata, kedudukan tiga ADUN berkenaan sedang dibincangkan bersama pimpinan di Melaka dan pimpinan PH pusat sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Empat ADUN itu pada 4 Oktober lalu mengumumkan hilang keyakinan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali; seterusnya DUN Melaka dibubarkan dan pilihan raya negeri akan diadakan pada 20 Nov.

Rujukan:
Anwar: Idris Haron, dua yang lain tak terlibat ‘Langkah Sheraton
https://m.malaysiakini.com/news/597448

 

Berkaitan