Gugur keahlian Dr M dan 4 lagi bukan tindakan terburu-buru, kata Muhyiddin - pakdin.my

Beliau mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa saja tindakan perlu berlandaskan perlembagaan parti

Mahathir bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan, walaupun parti memutuskan sebaliknya.

(FMT) – Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin berkata, pengguguran keahlian Dr Mahathir Mohamad dan 4 pemimpin lain tidak dilakukan secara terburu-buru, walaupun terdapat banyak desakan supaya mereka dikenakan tindakan.

Katanya, beliau mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa saja tindakan perlu berlandaskan perlembagaan parti serta tiada individu yang mengatasi perlembagaan parti.

“Mereka tidak dipecat daripada parti, sebaliknya perbuatan mereka melanggar perlembagaan parti telah menyebabkan keahlian mereka terhenti serta-merta.

“Tentunya kita berasa dukacita dengan pilihan dibuat Mahathir untuk tidak berada bersama-sama kita dalam wadah dan haluan perjuangan parti, sepertimana yang diputuskan Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Mahathir bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan, walaupun parti memutuskan sebaliknya. Jika itu pilihan Mahathir, saya ucapkan selamat maju jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, keahlian Mahathir bersama anaknya, Mukhriz serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah, dihentikan serta-merta selepas mereka mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat yang bersidang pada 18 Mei lalu.

Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, Pengerusi Lembaga Disiplin, Megat Najimuddin memaklumkan isu membabitkan Mahathir dan 4 pemimpin lain “tidak lagi relevan” untuk dibawa ke lembaga disiplin parti itu “apabila kedudukan keahlian mereka terhenti” mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3.

Muhyiddin yang mengumumkan dirinya memangku jawatan pengerusi PPBM, meminta ahli parti bersabar dan bertenang kerana beliau yakin ia akan terus teguh selepas menghadapi banyak cabaran sejak penubuhannya.

“Kita sudah menempuh banyak duri dan ranjau dalam perjuangan, yang penting kita tidak berjuang demi mana-mana individu, tetapi demi agama, bangsa dan negara kita.

“Marilah kita rapatkan saf bersama saya untuk terus perkukuhkan kerajaan yang sudah kita tubuhkan demi masa depan Malaysia yang lebih aman dan sejahtera.”

UTAMAPOLITIKGugur keahlian Dr M dan 4 lagi bukan tindakan terburu-buru, kata Muhyiddin

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium