Guan Eng, isteri dan Phang didakwa salah guna kuasa, ubah wang berkait projek RM11.6 juta - pakdin.my

BUTTERWORTH: Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersama isterinya, Betty Chew dan rakan perniagaannya, Phang Li Koon didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa serta pengubahan wang berhubung tawaran sebuah projek asrama pekerja asing RM11.6 juta kepada sebuah syarikat dikaitkan dengan Phang.

Mereka didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 serta Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Lim didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua menteri Pulau Pinang dan pengerusi lembaga tender Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Beliau didakwa memberi rasuah bernilai RM372,009 kepada Chew melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd, dengan memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan projek asrama pekerja asing di Juru serta Batu Kawan.

Projek untuk asrama itu terletak di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan di Seberang Perai Selatan.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu antara 19 Ogos 2013 hingga 3 Mac 2016.

Phang didakwa bersubahat dengan Lim di bawah Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009.

Chew pula berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang bernilai RM372,009 daripada satu akaun Public Bank yang berdaftar di cawangan Taman Melaka Raya antara 7 Okt 2013 dan 3 Mac 2016.

Beliau didakwa menerima wang itu 3 kali, iaitu RM87,009 antara 7 Ogos 2013 dan 4 Ogos 2014, RM180,000 antara 3 Sept 2014 dan 11 Ogos 2015 serta RM105,000 antara 4 Sept 2015 dan 3 Mac 2016.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Roslan Mat Nor, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar dan Francine Cheryl Rajendram.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Sebutan kes ditetapkan 16 Okt ini.

Peguam V Sithambaram ketika membantah pertuduhan terhadap Phang, berkata fakta dalam kes itu sama dengan kes banglo Lim di Jalan Pinhorn pada 2016, di mana Phang merupakan tertuduh.

Katanya, untuk mendakwa Phang, yang dibebaskan dalam kes terdahulu, semula ialah satu bentuk pendakwaan berganda.

Beliau berkata, pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan terhadap pembebasan untuk kes 2016 bermakna mereka menerima keputusan mahkamah.

“Pihak pendakwaan boleh mengemukakan pertuduhan ini ketika kes pada masa itu. Ia adalah undang-undang lapuk dan Phang terbabit dalam pertembungan politik,” katanya ketika penghujahan.

Bagaimanapun, Akram berkata, fakta kes itu berlainan daripada kes pada 2016.

Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan V Vemal Arasan. Sangeet Kaur Deo serta Lee Khai mewakili Chew, manakala A Rueban Kumar turut mewakili Phang. – FMT

UTAMABERITAGuan Eng, isteri dan Phang didakwa salah guna kuasa, ubah wang berkait...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium