MARANG – Wanita kemurungan yang hilang sejak empat hari lalu berjaya ditemui dalam keadaan selamat di dalam kawasan belukar di Kampung Batu Penunggul, di sini hari ini.
Rohana Abu Bakar, 49, ditemui pasukan mencari dan menyelamat sedang duduk di dalam buaian kain di kawasan belukar itu pada pukul 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, ibu kepada tiga anak itu dijumpai kira-kira tiga kilometer dari pondok yang didudukinya.
“Wanita itu berada dalam keadaan sihat, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Setakat ini motif kehilangannya masih belum ketahui,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan operasi mencari dan menyelamat Rohana dilancarkan pada pukul 10 pagi hari ini selepas menerima aduan kehilangan wanita itu di Balai Polis Bukit Payung di sini.
Kehilangan wanita yang mengalami kemurungan itu disedari salah seorang anaknya yang menghantar makanan di pondok berkenaan pada pukul 4 petang, Khamis lalu.