Polis menemui satu operasi penyeludupan besar-besaran berhampiran sempadan Thailand-Malaysia, merampas 100 kilogram metamfetamin yang disembunyikan di dalam ruang bumbung van pelancongan di wilayah Songkhla.
Penguatkuasa undang-undang menahan pemandu van dan dua suspek yang terlibat dalam operasi itu. Pegawai dari Bahagian Siasatan Wilayah Sempadan Selatan sub-bahagian 2 dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9 telah memantau kenderaan itu semasa ia bergerak ke selatan. Mereka memintas van itu di pusat pemeriksaan keselamatan Khuan Meed di Tambon Khuan Meed, daerah Chana.
Selepas menggeledah van itu, pegawai menemui 100 kilogram metamfetamin yang disembunyikan di dalam petak rahsia di bumbung. Pemandu berusia 30 tahun itu telah ditahan. Identitinya tidak didedahkan.
Ketika disoal siasat, pemandu terbabit dilaporkan mengaku mengangkut dadah itu dari Bangkok kepada ejen rangkaian dadah di Sungai Kolok, Narathiwat.
Pegawai kemudian menahan dua lagi suspek. Seorang lelaki, 51 tahun di daerah Muang di Narathiwat. Dia memandu sebuah van, didakwa untuk mengambil dadah daripada suspek pertama. Pemeriksaan mendapati terdapat petak rahsia di bumbung van.
Suspek ketiga, berusia 38 tahun, ditahan di polis daerah Sungai Kolok, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
100 kilogram metamfetamin yang dirampas itu bernilai kira-kira 20 juta baht (RM2.6 juta) tetapi akan bernilai dua atau tiga kali ganda di Malaysia, kata polis.
Pihak berkuasa menyita aset suspek untuk siasatan lanjut. Mereka termasuk tujuh kenderaan, enam bidang tanah, wang tunai 40,000 baht, RM12,230 matawang Malaysia dan dua pistol.
Ketiga-tiga mereka didakwa atas tuduhan pakatan sulit memiliki dadah terlarang dengan niat untuk menjual, dan kesalahan berkaitan. Kesemuanya ditahan untuk tindakan undang-undang, kata polis.