PPBM mesti hentikan segera ‘CURI’ dan ‘BELI’ ahli UMNO jika mahu selamatkan kerjasama

PPBM mesti hentikan segera ‘CURI’ dan ‘BELI’ ahli UMNO jika mahu selamatkan kerjasama

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan ini berpendirian dan mendesak dihentikan segera sebarang usaha untuk bersaing mencuri dan membeli ahli antara satu sama lain jika masih ingin melihat kerjasama UMNO dan PPBM dalam Kerajaan Perikatan Nasional kini diselamatkan.

1. Ketika suasana hubungan UMNO-PPBM di akar umbi semakin panas dan getir lantaran perebutan dan ‘kecurian’ ahli yang semakin menjadi-jadi, Setiausaha Agong PPBM Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak wajar menambahkan lagi minyak ke dalam api yang sedang membara.

2. Sejak beberapa bulan ini, banyak sekali aduan dan keresahan di kalangan ahli dan pimpinan UMNO akar umbi seluruh negara yang mendakwa PPBM galak men’CURI’ dan mem’BELI’ ahli UMNO. Ada yang mengaku bahawa setiap yang menyertai PPBM dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000.

3. Justeru, kenyataan pimpinan tertinggi PPBM yang semacam tiada rasa bersalah bahkan mempertahankan kemasukan ahli UMNO ke dalam PPBM atas dasar ‘keterbukaan’ dan alasan di bawah satu ‘bumbung Perikatan Nasional’ hanya akan menyebabkan hubungan UMNO-PPBM makin meruncing dan membarah.

4. Fenomena ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO jika diteruskan sebegini akan mengesahkan segala persepsi dan dakwaan selama ini bahawa matlamat PPBM ditubuhkan dan gabungan besar Parti Perikatan Nasional diwujudkan hanyalah untuk melemahkan dan menggantikan UMNO!

5. Seharusnya dalam suasana permuafakatan Kerajaan yang terbentuk, dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencari titik-titik persefahaman dan merungkai segala bentuk perbezaan termasuk menghentikan sebarang usaha melemahkan antara satu sama lain demi agenda penyatuan lebih besar.

6. Ambillah juga ibrah pengajaran bagaimana runtuhnya kerjasama UMNO-PAS dalam Barisan Nasional, lantaran persaingan berebut ahli yang semakin parah sepanjang 1974-1977, mengakibatkan terpisahnya dua parti terbesar orang Melayu sehingga melarat kepada persengketaan puluhan tahun.

7. Daripada mengerahkan segala peruntukan dan sumber dana besar parti untuk menubuhkan cawangan, adalah lebih baik memanfaatkannya dengan penggemblengan parti-parti rakan kongsi seperti UMNO dan PAS untuk aktiviti bantu rakyat di peringkat akar umbi secara bersama.

8. Apatah lagi hampir semua Ahli Parlimen PPBM ketika ini termasuk yang ‘lompat’ daripada UMNO berjawatan Menteri dan Timbalan Menteri. Seharusnya fokus untuk digemblengkan segala sumber untuk bantu rakyat yang sedang susah dan resah memikirkan kelangsungan hidup dalam suasana Pandemik ketika ini.

9. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan ini berpendirian dan mendesak dihentikan segera sebarang usaha untuk bersaing mencuri dan membeli ahli antara satu sama lain jika masih ingin melihat kerjasama UMNO dan PPBM dalam Kerajaan Perikatan Nasional kini diselamatkan.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
https://www.facebook.com/116331768396879/posts/4122172627812753/?d=n

Terkini

Popular

Berkaitan

Tolong lah subscribe