Jentera Kempen PAS Negeri Sembilan Dan Ibu Maut Kemalangan #PRKPengkalanKubor - pakdin.my

Allahyarham Safrizal Tarmizan
Allahyarham Safrizal Tarmizan

Innalillahi wainna lillahi rojiun

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan Safrizal Tarmizan, 31, dan ibunya meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 106.2 Jalan Kuala Krai- Gua Musang dekat sini, ketika pulang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, awal pagi Sabtu.

Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan Norazman Mohamad yang mengesahkan kejadian itu berkata, dalam kemalangan pada pukul 1 pagi itu, Safrizal dan ibunya, Asmita Lukman , 56, maut di tempat kejadian manakala isterinya Nor Izatil Aqmar Mat Lazim, 28, serta anak mereka Umar Al Fateh, 3 bulan, cedera parah.

“Safrizal dan ibunya meninggal dunia. Isterinya mengalami kecederaan dan anaknya difahamkan mengalami pendarahan otak.

“Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Kuala Krai, manakala jenazah Safrizal dan ibunya dibedah siasat di hospital sama sebelum dituntut keluarga,” katanya.

Norazman memberitahu, jenazah Safrizal dan ibunya akan dibawa pulang dan dikebumikan di Makam Sheikh Mohd Said, Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, jelasnya, Safrizal berada di Kelantan dengan dua tujuan iaitu untuk berkempen di Pengkalan Kubor dan untuk mengambil isteri, anak dan ibunya yang berada di Kota Bharu sebelum pulang ke rumah mereka di Seremban.

“Pada Khamis beliau pergi ke Pengkalan Kubor untuk membantu jentera di sana berkempen sebelum mengambil isteri, ibu dan anak untuk pulang ke Seremban pada Jumaat malam,” ujarnya.

Katanya, Safrizal yang merupakan bekas pelajar Universiti Al-Azhar sempat menyatakan harapannya untuk melihat PAS menang di Pengkalan Kubor bagi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap parti itu.

Allahyarham juga disifatkan sebagai seorang yang ceria dan boleh dibawa berbincang.

UTAMAPILIHAN RAYAJentera Kempen PAS Negeri Sembilan Dan Ibu Maut Kemalangan #PRKPengkalanKubor

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium