Sorotan 2014: Kos Sara Hidup, Kenaikan Harga Barang Perhangat Isu Kepenggunaan - pakdin.my

kenaikan-harga-barang-selangor

Peningkatan kos sara hidup, yang menjadi isu popular sepanjang tahun 2014, dihangatkan dengan isu-isu kepenggunaan berikutan turun naik harga barang, selain langkah kerajaan merasionalisasi subsidi serta cadangan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Langkah mengurangkan subsidi pukal secara berperingkat berkuatkuasa pada 3 Sept 2013, umumnya bertujuan memperkukuh kedudukan ekonomi negara di samping memastikan subsidi yang diberi kerajaan itu benar-benar dinikmati oleh kumpulan sasar.

Perbelanjaan kerajaan bagi menyediakan pelbagai subsidi pada 2014 adalah sebanyak RM40.5 bilion. Daripada jumlah itu, RM21 bilion diperuntukkan untuk membiayai subsidi petrol RON95, diesal dan gas memasak LPG.

Sepanjang 2014 ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jelas tidak menang tangan menangani pelbagai isu kepenggunaan yang timbul.

TARIF BAHARU

Dalam aspek peningkatan perbelanjaan isi rumah, tahun 2014 bermula dengan kadar tarif elektrik baharu berkuatkuasa 1 Jan ekoran kenaikan kos bahan api seperti gas domestik, arang batu dan gas cecair asli yang menyumbang kepada semakan tarif elektrik.

Semakan semula ke atas subsidi gas dan elektrik Tenaga Nasional Berhad, dengan kadar purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dinaikkan 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (kWj) kepada 38.53 sen/kWj. Tarif elektrik sebelum ini ialah 33.54 sen/kWj.

Bagi Sabah dan Labuan, kadar purata tarif meningkat 5.0 sen se kWj atau 16.9 peratus kepada 34.52 sen per kWj. Kadar tarif di Sarawak tidak terjejas kerana bekalan tenaga elektrik dikendalikan oleh syarikat milik kerajaan negeri, Sarawak Engery Bhd.

Namun, 70.7 peratus atau 4.56 juta daripada keseluruhan 6.45 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 62 peratus atau 260,000 daripada 418,000 pengguna domestik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kWj dan ke bawah, tidak terlibat dengan semakan itu.

Kali terakhir tarif itu disemak pada Jun 2011.

Rakyat mampu menarik nafas lega apabila pada Februari, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tiada kenaikan tol sepanjang 2014 setelah kerajaan bersetuju menyediakan RM400 juta sebagai bayaran pampasan kepada syarikat konsesi terlibat.

KAEDAH PENGAPUNGAN TERKAWAL

Bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan menanggung beban subsidi, pada 1 Okt, KPDNKK mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter, menjadikan harga runcit bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

Pengurangan subsidi petrol dan diesel sebanyak 20 sen disifatkan wajar bagi mengelak berlakunya ketirisan dan penyelewengan bahan subsidi itu.

Jika subsidi tidak dikurangkan, bahan bakar itu akan berterusan dimanipulasi pihak tertentu untuk mengaut keuntungan menerusi kegiatan penyeludupan ke luar negara terutamanya di kawasan sempadan.

Namun, berikutan trend menurun harga bahan api dunia, kerajaan mengumumkan penetapan harga runcit untuk petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah Pengapungan Terkawal mulai 1 Dis dan kaedah itu menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), yang diguna pakai kerajaan sejak 1983 bagi penetapan harga runcit bahan api negara.

Kaedah Pengapungan Terkawal itu bertujuan memastikan rakyat mendapat manfaat sepenuhnya daripada penurunan harga minyak mentah dunia, yang trendnya dijangka terus menurun.

Harga runcit RON97 kini ialah RM2.46 seliter; RON95 (RM2.26 seliter manakala diesel ialah RM2.23 seliter.

Menyifatkan kaedah Pengapungan Terkawal lebih memberi manfaat kepada rakyat kerana harga minyak akan turun mengikut harga pasaran minyak dunia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengambil langkah bagi meringankan beban rakyat sekiranya harga minyak dunia meningkat dengan mendadak.

PELBAGAI PROGRAM KURANGKAN BEBAN

Dalam pada itu, kerajaan sentiasa berusaha mengurangkan bebanan orang ramai dengan mewujudkan pelbagai inisiatif, termasuk penambahan 1,000 kedai rakyat 1Malaysia (KR1M), sebagai tambahan kepada 125 sedia ada.

Barangan basah di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) terpilih dijual antara 10 hingga 46 peratus lebih murah daripada harga pasaran malah harga barang keperluan isi rumah jenama 1Malaysia tidak pernah dinaikkan sejak diwujudkan pada 2011.

Setakat ini KR1M menawarkan sebanyak 378 pilihan barang berkualiti dengan harga sehingga 50 peratus lebih rendah berbanding jenama terkenal.

Kerajaan mengambil langkah berterusan bagi mengurangkan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan antaranya dengan melaksanakan program ‘1Malaysia 1Harga’ dan inisiatif Kedai Rakyat 1Malaysia Bergerak (Mobile KR1M).

PELAKSANAAN GST

Dalam tempoh tiga bulan menjelang pelaksanaan GST, usaha memberikan penjelasan kepada orang ramai mengenai cukai kepenggunaan dan kepentingannya kepada negara kini memasuki fasa akhir sebelum GST berkuatkuasa 1 April 2015.

Sebagai persediaan, kerajaan akan menerbitkan Panduan Pembeli (Shopper’s Guide) akan membolehkan pengguna menggunakan hak mereka untuk membuat perbandingan pada harga barang-barang yang terlibat dengan GST.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, semasa membentangkan Bajet 2015 pada 10 Okt memberi jaminan bahawa GST tidak membebankan rakyat dan mencadangkan lebih separuh daripada 944 barang dan perkhidmatan diberi penurunan harga sehingga 4.1 peratus apabila cukai itu dilaksanakan.

Bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati, KPDNKK melakukan operasi pemantauan dan kawalan harga sepanjang masa, dan bukan hanya ketika musim perayaan sahaja.

KUASA BELI PENGGUNA

Berbanding dengan kebanyakan rakyat di negara maju yang sudah lama menyedari dan mengamalkan kuasa membeli mereka untuk memilih barangan serta perkhidmatan mengikut kemampuan dan memastikan ia selamat, kesedaran kepenggunaan rakyat Malaysia amnya masih rendah.

Rakyat Malaysia seharusnya bijak menggunakan kuasa pengguna sebagai pembeli dengan cara mencari alternatif untuk menguruskan perbelanjaan harian supaya tidak terbeban dengan kenaikan harga barang.

“Kalau hendak harga turun, guna kuasa membeli untuk mendesak, boikot beramai-ramai dan cari alternatif lain. Guna kuasa untuk memilih sekali gus menjadi pengguna yang bijak,” demikian kata bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Datuk Fuad Hassan pada satu program Wacana Ilmuan Negara bertajuk ‘Mengurus Kos Hidup Rakyat’ awal tahun ini.

UTAMASorotan 2014: Kos Sara Hidup, Kenaikan Harga Barang Perhangat Isu Kepenggunaan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium