Lebihan Langganan Sukuk Kerajaan Petanda Baik Untuk Ringgit - pakdin.my

langganan-sukuk-malaysia

Lebihan langganan sukuk US$1.5 bilion Malaysia menunjukkan ringgit masih merupakan mata wang yang baik untuk pelabur memegangnya walaupun persepsi negatif di samping prospek yang lemah terhadap mata wang sedang muncul.

Pakar pasaran memberitahu Bernama, lebihan langganan sukuk jangka panjang pertama kerajaan, menandakan keyakinan pelabur global dalam kepercayaan kredit dan sistem kewangan Malaysia.

Mereka percaya ringgit dinilai rendah dan mengalami satu corak dagangan, walaupun asas kukuh negara dengan ekonomi yang pelbagai serta lebihan dalam dagangan.

Penerbitan sukuk itu membantu mata wang tempatan untuk melonjak kepada 3.6240/6270 berbanding dolar AS pada jam 5 petang hari ini berbanding 3.6520/6550 ketika ditutup semalam.

Negara ini telah menerbitkan US$1 bilion Sijil Amanah bertempoh matang 10 tahun yang hampir tujuh kali terlebih langganan manakala untuk US$500 juta dengan tempoh matang 30 tahun terlebih langganan enam kali.

“Kadar lebihan langganan dan harga kompetitif sukuk itu agak menarik kerana ia didaftar ketika tekanan jualan ke atas ringgit,” kata Ketua Penyelidik MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Zulkifli Hamzah.

Mata wang tempatan itu menerima tekanan jualan pada awal minggu walaupun harga minyak mengalami pemulihan kukuh, katanya.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, minat ke atas bon Malaysia berpunca daripada prospek cerah ringgit kerana kitaran lemah mata wang itu sudah berakhir.

“Dolar AS semakin lemah dengan jangkaan Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah, tetapi pada pendapat saya ekonomi AS terlalu lemah untuk itu,” katanya.

Pong berkata, ringgit tidak akan susut melepasi 3.70 berbanding mata wang AS itu.

Dekan Fakulti Perniagaan di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Dr Yeah Kim Leng berkata, walaupun terdapat banyak faktor menyebabkan pergerakan mata wang itu, “Saya berpendapat ringgit dinilai rendah.”

Ketua Penyelidik JF Apex Securities, Lee Chung Cheng berkata, kenaikan mata wang tempatan mengesahkan keyakinan pelabur kepada ekonomi dan asas ekonomi Malaysia.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, mata wang tempatan dijangka bergerak kembali ke paras ideal 3.5 dan kurang berbanding dolar AS.

Ringgit sebelum ini terjejas oleh spekulasi, termasuk mengenai 1Malaysia Development Bhd dan penurunan penarafan.

“Bagaimanapun, dengan kejatuhan dolar AS ketika ini dan Bank Negara Malaysia belum menaikkan kadar faedah, mungkin terdapat prospek positif untuk mata wang kita,” katanya.

UTAMAEKONOMILebihan Langganan Sukuk Kerajaan Petanda Baik Untuk Ringgit

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium