Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Jabatan Imigresen memburu ejen atau sindiket yang mengaut keuntungan besar selepas menipu pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja di negara ini.
Beliau berkata hasil operasi penguatkuasaan mendapati 95 peratus daripada PATI yang ditangkap mempunyai dokumen yang sah, tetapi menjadi mangsa penipuan oleh ejen atau sindiket apabila tiba di negara ini.
“Kebanyakan mangsa penipuan ini berasal dari Bangladesh, Indonesia dan Myanmar. Dokumen mereka telah dipegang oleh ejen atau sindiket malah, ada juga majikan yang memegang dokumen perjalanan dan permit kerja mereka,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Imigresen 2015 di sini Sabtu.
Turut hadir Menteri Pembangunan Sosial Sarawak mewakili Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan-timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat serta Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafa Ibrahim.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ada ejen dan sindiket yang menipu PATI itu menjadi kaya-raya dan hidup senang-lenang, malahan ada yang dikurniakan pangkat ‘Datuk Seri’.
“Saya mahu Jabatan Imigresen fokus bukan hanya untuk tangkap PATI sahaja, tetapi juga mencari, menyiasat, menangkap serta membawa ke mahkamah ejen dan sindiket yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri bersedia untuk menambah hukuman lebih berat terhadap ejen dan sindiket yang terlibat jika didapati bersalah.
“Akta Imigresen 1959 sudah cukup berat, tetapi jika umum mahu supaya akta ini diperkukuhkan serta ditambah hukuman, kementerian bersedia untuk melakukannya.
“Saya akan berbincang dengan dua timbalan saya dan ketua setiausaha kementerian untuk minta nasihat undang-undang bagi memperkukuhkan akta dan peraturan sedia ada,” katanya.