Polis menangkap bekas pemimpin DAP Hew Kuan Yew susulan tulisan di Facebook yang mempersendakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.
Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki itu ditahan 1 tengah hari tadi di Pulau Pinang berikutan kenyataan dibuatnya yang dipercayai boleh menggugatkan keharmonian serta kesejahteraan negara.
“Pada 16 Mac lalu, polis Johor menerima beberapa laporan berkaitan penyalahgunaan media sosial itu dengan satu kenyataan jelik terhadap perdana menteri dan polis membuat tindakan susulan.
“Kuan Yau ditahan di sebuah restoran di Tingkat 2, ICT Mall Komtar, Georgetown dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini petang tadi.
Wan Ahmad Najmuddin berkata polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek bagi membuat kenyataan jelik terhadap perdana menteri melalui laman Facebook.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas mensabitkan.
Wan Ahmad Najmuddin turut menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan palsu atau untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.
“Sebagai negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa, hormat menghormati serta sifat kesopanan dan kesusilaan di antara satu sama lain adalah begitu penting dalam menjamin keharmonian sesebuah negara.
“Saya juga mengingatkan polis Johor tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit,” tegasnya.