Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah memintanya untuk membubarkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, beliau pernah berjumpa dengan Dr. Mahathir secara peribadi bersama Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden UMNO
“Ia (mesej) sangat kuat dan jelas, bahawa kami mesti melompat dan menyertai Bersatu, bahawa kami mesti membubarkan UMNO,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis tersebut, Ahmad Zahid mendakwa beliau mungkin tidak berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah jika memilih untuk melompat parti.
Malah beliau turut memberi peringatan kepada kepimpinan parti pembangkang yang lain bahawa mereka juga mungkin berdepan tindakan sama.
“Pasti bukan hanya pemimpin UMNO akan terus disiasat, diheret ke mahkamah, saya hampir pasti pemimpin MIC, pemimpin lain pun.
“Ada satu sayap (Pemuda UMNO) menyebut presiden patut ambil cuti sehingga kes selesai. Kes akan selesai mungkin tiga, empat tahun, penggal Presiden tiga tahun. No way (jangan harap),”katanya.
————-