BEBERAPA individu termasuk pegawai kerajaan berpangkat tinggi direman polis susulan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada seorang warga China di Pulau Pinang baru-baru ini.
Dalam operasi khas minggu lalu itu, beberapa kakitangan dan pegawai sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang termasuk di Putrajaya ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Sumber berkata, antara yang ditahan termasuk pegawai jabatan itu bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang mengenai wanita warga China memiliki MyKad sah mahu membuat pasport Malaysia.
Difahamkan, wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun itu datang ke JIM negeri bagi membuat pasport Malaysia sebelum mengemukakan MyKad miliknya yang sah.
“Namun status kewarganegaraan wanita itu diragui selepas timbul masalah komunikasi antara dirinya dan pegawai bertugas.
“Dia gagal menjawab semua soalan yang diajukan dalam Bahasa Melayu sebaliknya hanya tersenyum sebaik soalan dikemukakan,” katanya.
Menurutnya, MyKad yang dibawa wanita itu sah sebelum JIM membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Katanya, susulan laporan itu, satu operasi sulit dilakukan PDRM sebelum membawa kepada penahanan beberapa individu yang dipercayai terbabit dengan kes penjualan MyKad membabitkan nilai RM350,000.
Difahamkan, operasi sulit itu akan menahan beberapa lagi individu termasuk membongkar sindiket berkenaan.
Katanya, difahamkan, hasil siasatan sehingga hari ini kumpulan itu sudah menjual lebih enam keping MyKad selain penemuan sejumlah wang tunai bersama beberapa individu terbabit.