Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei ini semakin panas apabila jawatan presiden parti yang disandang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicabar, menyaksikan pertembungan antara suami dan isteri.
Apa yang menarik perhatian ramai adalah pencabar presiden merupakan suami beliau sendiri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika ini bertaraf ketua umum parti.
Banyak pihak melihat bahawa perebutan jawatan presiden parti oleh pasangan suami isteri ini hanyalah satu muslihat bagi mengelak jawatan itu turut dicabar pemimpin lain.
PERTAHAN JAWATAN DEMI KEPENTINGAN PARTI
Dr Wan Azizah berkata keputusannya bertanding dalam pemilihan PKR adalah ‘demi menjaga kepentingan dan masa depan parti’.
Ramai pemerhati politik berpandangan bahawa ‘pertarungan’ Anwar dan Dr Wan Azizah lebih menjurus kepada ‘jaminan’ supaya parti itu terus dipimpin oleh individu yang mempunyai pertalian keluarga, sekiranya Anggota Parlimen Permatang Pauh itu tidak dapat bertanding ekoran sabitan kesalahan meliwat oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas, dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun.
Mengikut Seksyen 9A (1)(b) Akta Pertubuhan 1966, seseorang tidak boleh menjadi atau kekal memegang jawatan dalam pertubuhan yang berdaftar jika disabitkan dengan apa-apa kesalahan dan didenda tidak kurang daripada RM2,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun.
Bekas setiausaha sulit ketua pembangkang itu, Anuar Shaari menyifatkan pertembungan antara suami dan isteri untuk berebut jawatan yang sama adalah ‘kerja gila’.
“Tidak pernah dalam sejarah politik, suami dan isteri berebut jawatan yang sama,” katanya.
JAWATAN KETUA UMUM
Seperti yang diketahui di dalam struktur organisasi PKR, jawatan Ketua Umum tidak wujud dalam perlembagaan parti dan PKR meletakkan presiden sebagai pemimpin utama parti serta bertanggungjawab menjaga perjalanan parti.
Namun jawatan Ketua Umum ‘diadakan’ dan diberikan kepada Anwar pada 2008 tanpa pemilihan. Anwar dilihat memainkan peranan besar menerusi kedudukannya sebagai pemimpin paling layak dan berupaya ‘mengikat’ tiga parti pembangkang iaitu PKR, DAP dan PAS.
Persoalannya, siapakah yang layak menggantikan Anwar sebagai ketua umum sekiranya beliau menjadi presiden parti? Adakah jawatan tersebut akan dijumudkan?
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat bagaimana pun yakin Dr Wan Azizah masih kekal sebagai presiden parti.
“Anwar seolah-olah ketua kepada PKR dan juga Pakatan Rakyat… kalau nak letak orang lain sebagai penasihat, saya tidak nampak ada calon lain,” katanya.
Samsul Adabi berkata pada masa ini amat sukar untuk meramalkan sama ada jawatan ketua umum itu akan dikekalkan atau tidak sekiranya Anwar menjadi presiden PKR.
Dr Wan Azizah, yang merupakan antara pengasas PKR, mula menjadi presiden parti sejak 1999 sehingga kini.
MAMPUKAH DR WAN AZIZAH SEBAGAI KETUA UMUM
Turut menarik perhatian pemerhati politik adalah jika Anwar menjadi presiden parti, di manakah kedudukan Dr Wan Azizah yang sudah 15 tahun berjasa dan berkorban memimpin PKR?
Adakah Dr Wan Azizah dibiarkan tanpa status di dalam parti atau diberikan kedudukan sebagai ketua umum PKR? Apakah beliau mampu memainkan peranan serupa yang dimainkan suaminya?
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat sekiranya Anwar dipilih menjadi presiden, Dr Wan Azizah berkemungkinan besar dilantik menjadi ketua umum.
Katanya adalah tidak mustahil perkara itu berlaku memandangkan ia sebagai tanda penghargaan kepada Dr Wan Azizah yang memimpin parti selama ini.
“Ya sudah pasti Dr Wan Azizah mampu melaksanakan tugas sebagai ketua umum dengan arahan yang diberikan sepenuhnya oleh Anwar. Anwar masih ada peluang untuk jadi presiden memandangkan keputusan rayuannya di Mahkamah Persekutuan belum diketahui bila.
“Sama ada Anwar menjadi presiden atau tidak, PKR dicorak sepenuhnya oleh beliau,” katanya.
Anuar bersependapat dengan Ahmad Atory bahawa adalah mustahil untuk Dr Wan Azizah diberikan status ahli biasa sekiranya Anwar menerajui PKR.
ROS AKAN DIPERSALAHKAN
Anwar sendiri sudah pastinya sedar bahawa partinya akan berdepan risiko dibatalkan pendaftaran jika beliau menerajui parti itu.
Ramai pihak melihat dan menjangkakan bahawa ia adalah cubaan untuk memburukkan imej dan reputasi Pendaftar Pertubuhan (ROS), seolah-olah dilihat menyekat Anwar daripada memimpin parti.
Anuar berkata itu adalah satu strategi bagi mewujudkan elemen simpati kononnya Anwar dinafikan hak untuk bertanding dan menerajui parti bagi tempoh tiga tahun akan datang.
“ROS sudah pasti akan dipersalahkan dan dituduh sebagai alat kerajaan untuk menghalang kemaraan beliau dalam politik walhal dia sudah tahu bahawa dia tidak layak memimpin PKR ekoran sabitan kesalahannya,” katanya.
Samsul Adabi pula berpandangan bahawa Anwar mempunyai strategi serampang banyak mata bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu pokok, iaitu tidak layak menerajui parti seperti mana yang termaktub dalam Seksyen 9A (1)(b) Akta Pertubuhan 1966.
“Dia (Anwar) akan tetap meletakkan apa juga kesalahan kepada kerajaan di atas apa yang berlaku kepadanya,” katanya.
Sama ada Anwar atau Dr Wan Azizah yang menjadi presiden parti, kepimpinan baharu PKR, yang akan diketahui secara rasmi pada 13 Mei, akan masih dalam kalangan keluarga.