Ekonomi Malaysia Tumbuh 5.6% - pakdin.my

Ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2017 berbanding 4.2 peratus bagi tempoh sama tahun sebelumnya dan merupakan prestasi terbaik yang dicatatkan sejak suku pertama 2015, iaitu 5.8 peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata, prestasi kukuh yang dicatatkan pada suku pertama itu mencerminkan kedudukan ekonomi negara berada dalam momentum yang tepat untuk mencapai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.3 hingga 4.8 peratus tahun ini.

Katanya, pencapaian ekonomi Malaysia yang lebih tinggi itu disokong oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik, khususnya perbelanjaan sektor swasta.

Beliau berkata, dari segi penawaran, pertumbuhan yang lebih baik ini didorong terutama oleh sektor pertanian yang kembali pulih dan pertumbuhan lebih tinggi dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

“Secara dasarnya, ekonomi negara dijangka kekal berada dalam landasan yang tepat untuk mencatat pertumbuhan lebih tinggi tahun ini dengan permintaan dalam negeri diunjur terus berkembang.

“Eksport juga dijangka meraih manfaat daripada pertumbuhan global yang bertambah baik dan dalam masa sama, inflasi akan menurun pada suku kedua dan seterusnya sekitar tiga hingga empat peratus walaupun mencatat peningkatan 4.3 peratus pada suku pertama disebabkan harga bahan api yang lebih tinggi,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan Prestasi Ekonomi pada Suku Pertama 2017 di sini hari ini.

Dalam tempoh berkenaan, pertumbuhan permintaan domestik meningkat 7.7 peratus disokong oleh peningkatan berterusan dalam perbelanjaan sektor swasta dan pemulihan bagi perbelanjaan dalam sektor awam.

Penggunaan swasta berkembang 6.6 peratus dengan perbelanjaan isi rumah kekal menyokong pertumbuhan dalam pekerjaan dan pertumbuhan penggajian manakala penggunaan awam pula merekodkan pertumbuhan kukuh pada 7.5 peratus disokong oleh perbelanjaan tinggi dalam emolumen, pembekalan dan perkhidmatan.

Hutang isi rumah Malaysia menyusut kepada 88.4 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 89 peratus pada akhir 2016 berikutan kedudukan pasaran buruh yang lebih stabil, selain penampan kewangan yang mencukupi.

Pada masa sama, kadar pinjaman perumahan yang diluluskan kekal tinggi pada 74.2 peratus dengan bank-bank meluluskan sebanyak RM22.3 bilion kepada 90,137 peminjam pada suku tersebut dengan separuh daripadanya adalah untuk unit perumahan mampu milik yang berharga kurang daripada RM500,000.

Mengulas mengenai prestasi ringgit yang mengukuh 3.7 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat ini, Muhammad berkata, mata wang tempatan itu akan terus mencerminkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Langkah yang dilaksanakan BNM juga secara tidak langsung dapat mengurangkan ketidaktentuan dalam ringgit dan juga pasaran tukaran mata wang asing domestik.

“Bagaimanapun, faktor luaran seperti kadar faedah AS, harga minyak mentah yang tidak menentu, perkembangan politik global dan pasaran kewangan global akan terus memberi kesan kepada ketidaktentuan ringgit,” katanya.

UTAMAEKONOMIEkonomi Malaysia Tumbuh 5.6%

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium