Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jelas menunjukkan bahawa pimpinan parti komponen ini konsisten membantu rakyat di negeri ini, kata Naib Presiden, UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut beliau, aku janji ini juga bersifat menyeluruh dan praktikal untuk dilaksanakan bagi memastikan Melaka meneruskan kemajuan seperti yang dilakukan BN sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Manifesto yang dilancarkan oleh Pengarah BN Pilihan Raya Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah satu aku janji yang realiti juga boleh dipraktiskan atau pada saya adalah suatu perkara yang praktikal boleh dilakukan oleh kerajaan negeri Melaka yang insya-Allah bakal ditubuhkan oleh BN.
“Kesemua itu adalah untuk kesejahteraan rakyat penekanan yang diberikan kepada ekonomi, pendidikan semuanya berkaitan menjadikan kerajaan itu progresif untuk kemajuan rakyat.
“Pengalaman BN ini sudah lama untuk menjaga rakyat pada saya atas pengalaman sedia ada dan dengan manifesto yang dibuat ini maka inilah ruang dan peluang untuk rakyat menerima bahawa membuktikan BN komited membantu rakyat,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Terdahulu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN melancarkan manifesto yang bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran, yang menggariskan lima teras dan 103 inisiatif.
Pelancaran yang dilaksanakan secara hibrid itu sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), turut dihadiri calon Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga calon BN kawasan Lendu.
Mohamad berkata manifesto itu adalah aku janji kepada rakyat Melaka dengan berpandukan kepada lima teras utama iaitu kestabilan politik; lonjakan ekonomi baharu; kecekapan tadbir urus; masyarakat bersatu padu serta pembangunan mampan dan perkongsian kemakmuran.