Home Blog Page 15

Timbalan Ketua Pemuda hadir mesyuarat Bersatu, BN tuntut MIC beri penjelasan

Timbalan Ketua Pemuda hadir mesyuarat Bersatu, BN tuntut MIC beri penjelasan

Parti MIC akan diminta memberi penjelasan kepada Barisan Nasional (BN) susulan tindakan Timbalan Ketua Pemudanya K. Kesavan hadir ke perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Armada Bersatu, semalam 6 September 2025.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, akan memohon parti itu memberi penjelasan secara bertulis berhubung perkara itu.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata terserah kepada kepimpinan MIC untuk mengambil sebarang tindakan disiplin mengikut peraturan parti itu.

“Ini merupakan satu manifestasi yang tidak baik, tidak sepatutnya mana-mana parti gabungan BN menghantar wakil sama ada secara peribadi ataupun secara rasmi menghadiri sebarang mesyuarat dianjurkan parti di luar Kerajaan MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Motivasi Desa (MODE)@KEMAS KKDW dan Program Bakti MADANI@KPT, di sini hari ini ketika ditanya sekiranya BN akan mengenakan sebarang tindakan disiplin terhadap MIC ekoran kejadian itu.

BACA juga:

Inkues Zara Qairina: Polis Tahan Suspek Ugut Pakar Patologi

Inkues Zara Qairina: Polis Tahan Suspek Ugut Pakar Patologi

KOTA KINABALU — Polis telah menahan seorang lelaki berusia 61 tahun di Semporna pagi ini, 7 September 2025 kerana disyaki mengugut pakar patologi yang terlibat dalam inkues Zara Qairina Mahathir.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata tangkapan dilakukan kira-kira 7 pagi di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Beliau berkata, pada Jumaat lepas polis menerima laporan mengenai kenyataan di laman Facebook yang mengandungi ugutan jenayah terhadap pakar patologi Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Dr Jessie Hiu.

“Hasil semakan awal ke atas sebuah telefon bimbit jenama Redmi yang dirampas mendapati suspek adalah pemilik akaun Facebook ‘Amung Kamaruddin’ yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jauteh berkata kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab, serta mengelak kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menimbulkan keresahan masyarakat.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai. Beliau dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya, selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pokok pisang raksasa ditemui di Papua Barat, terbesar di dunia!

Pokok pisang raksasa ditemui di Papua Barat, terbesar di dunia!

Penduduk Papua telah menemui “pokok pisang raksasa” (Musa ingens) yang disahkan sebagai spesies pisang terbesar di dunia. Ketinggiannya mampu mencecah 25–30 meter, hampir menyamai ketinggian pokok kelapa yang besar.

Butiran Menakjubkan:
Daun sepanjang 5–6 meter dan selebar lebih 1 meter.
Batang yang besar dengan diameter hampir 1 meter.
Buah pisang sepanjang kira-kira 10–20 sentimeter. Setiap tandan mempunyai lebih 300 biji buah dengan jumlah berat mencecah 60 kilogram.
Isinya beraroma wangi dan manis, rasanya seperti gabungan labu dan pisang, tetapi mempunyai banyak biji, menyebabkannya kurang sesuai dimakan segar.

Kepentingan:
Pokok pisang raksasa ini hanya ditemui di kawasan Pergunungan Arfak Papua Barat, pada ketinggian 1,200–2,000 meter dari aras laut. Ia dianggap sebagai tumbuhan langka yang dimanfaatkan oleh komuniti tempatan; daunnya digunakan untuk atap, alas makanan atau dibuat tikar, manakala pelepahnya digunakan untuk membungkus barang.

Walaupun mempunyai buah yang besar dan mengagumkan, penanamannya masih sukar disebabkan habitatnya yang terhad dan bijinya yang banyak, menjadikannya tidak sesuai untuk penggunaan komersial secara umum. Namun, pakar berpendapat jika penyelidikan dan pembiakan dijalankan dengan serius, ia berpotensi untuk dibangunkan sebagai tanaman ekonomi baru pada masa hadapan.

Pada masa ini, status Musa ingens diklasifikasi sebagai “Kurang Membimbangkan” (Least Concern) oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Bayangkan pokok pisang setinggi ini jika ditanam di halaman rumah, pasti menjadi tumpuan!

@liyacreator Giant Banana 🍌That Grows in the Mountains😲 #usa #newyork ♬ original sound – liyacreator

PRN Sabah 2025: PH Hormati Keputusan BN Tidak Kerjasama Dengan GRS – PM Anwar

PRN Sabah 2025: PH Hormati Keputusan BN Tidak Kerjasama Dengan GRS – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Beliau yang juga Pengerusi PH berkata gabungan itu tidak tersepit dalam keputusan berkenaan, malah akan terus berbincang bagi mencari penyelesaian.

“PH akan terus berbincang juga dengan BN dan GRS. Kita akan terus berunding, apa pun berunding dengan baik dan mencari penyelesaiannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Temu Mesra Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan muktamad BN dan UMNO Sabah untuk tidak bekerjasama dengan GRS pada pilihan raya negeri berkenaan.

Ahmad Zahid berkata sebaliknya parti itu memutuskan hanya akan bekerjasama dengan PH pada PRN17 Sabah.

Mengikut peruntukan, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.

PRN Sabah 2025: UMNO, BN Sabah Tidak Kerjasama Dengan GRS – Ahmad Zahid

PRN Sabah 2025: UMNO, BN Sabah Tidak Kerjasama Dengan GRS – Ahmad Zahid

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah memutuskan tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berkata UMNO dan BN Sabah bagaimanapun kekal menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya berkenaan.

“Kami mengekalkan kerjasama BN-PH. Namun, BN Sabah dan UMNO Sabah memutuskan secara muktamad tidak akan ada kerjasama dengan GRS. Sekian terima kasih,” katanya pada sidang media di sini tengah malam tadi.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan mesyuarat tertutup dengan barisan pemimpin UMNO Sabah di sini yang turut dihadiri Pengerusi Badan Pimpinan UMNO Sabah yang juga Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Mengikut peruntukan, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.

Ucapan Muhyiddin diganggu, suasana himpunan Bersatu bertukar kecoh

Ucapan Muhyiddin diganggu, suasana himpunan Bersatu bertukar kecoh

Suasana Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kelapan Bersatu 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, kecoh apabila berlaku insiden provokasi oleh beberapa individu malam ini 6 September 2025.

Insiden kira-kira pukul 10.20 malam itu berlaku ketika Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan dasar selain menyentuh mengenai tindakan segelintir individu yang cuba mengutip tandatangan untuk jatuhkan Presiden.

Beberapa individu kemudian melaungkan jeritan ‘tidak benar’ dan ‘turun tan sri’ sehingga menyebabkan dewan bertukar kecoh.

Muhyiddin bagaimanapun meneruskan ucapan dan keadaan kembali terkawal tidak lama kemudian.

Inkues Zara Qairina: Pakar Patologi buat laporan polis berikutan ugutan netizen

Inkues Zara Qairina: Pakar Patologi buat laporan polis berikutan ugutan netizen

KOTA KINABALU — Polis menerima laporan daripada Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth Dr Jessie Hiu berhubung ugutan diterimanya selepas menjadi saksi di Mahkamah Koroner dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata laporan polis itu dibuat oleh Dr Hiu semalam 5 September 2025.

“Ada terima ugutan yang dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth. Kes sedang dalam siasatan polis,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam prosiding inkues pada minggu lepas, Dr Hiu, 58, yang menjalankan bedah siasat terhadap Zara Qairina membacakan pernyataan saksi memberitahu mahkamah pelajar itu tidak mungkin terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari posisi berdiri di sebelah penghadang konkrit di sepanjang koridor asrama sekolahnya.

Beliau juga memaklumkan kepada mahkamah mayat Zara Qairina berada pada tahap pereputan sederhana hingga lanjut dan keadaan itu selari dengan tempoh pengebumian di dalam tanah.

Dr Hiu berkata kecederaan itu konsisten dengan maklumat yang didokumenkan dalam rekod perubatan si mati, imbasan tomografi berkomputer (CT), aniografi tomografi berkomputer (CTA) dan radiograf.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya, setelah ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.

Pada 8 Ogos, AGC turut mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.

Muhyiddin beri bayangan ‘PN Plus’ menjelang PRU16

Muhyiddin beri bayangan ‘PN Plus’ menjelang PRU16

Muhyiddin menyatakan secara terbuka bahawa terdapat ruang untuk dialog antara PN dan MIC, dan jika persetujuan dapat dicapai, parti itu boleh menjadi sebahagian daripada gabungan itu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan bahawa PN berkhidmat untuk semua kaum, dan mendedahkan bahawa terdapat parti-parti yang sedang mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan PN, dan perkara ini mungkin akan dicapai dalam beberapa bulan akan datang.

“PN akan berkembang menjadi sebuah parti besar yang merangkumi semua kaum, meliputi semua etnik Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak.”

“Saya tidak boleh mendedahkan terlalu banyak di sini, matlamat kami adalah untuk memacu proses ini.”

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata cadangan-cadangan ini sedang dalam proses dan perkara akan menjadi lebih jelas dalam beberapa bulan akan datang.

“Tidak lama lagi, akan ada lebih banyak dalam dan di luar gabungan, contohnya PN Plus (PN+).”

Beliau menyatakan demikian dalam wawancara secara dalam talian dengan Sinar Harian malam ini.

PN dan MIC Boleh Bekerjasama Sehingga Pilihan Raya

Beliau berkata, terdapat ruang untuk dialog antara PN dan MIC. Jika persetujuan dapat dicapai, parti itu boleh menjadi sebahagian daripada gabungan, atau mencapai perjanjian pilihan raya semasa pilihan raya, atau boleh bekerjasama dengan PN sehingga pilihan raya, contohnya sebagai gabungan pilihan raya.

“Bukan menyertai PN, tetapi di luar. Di kerusi yang mereka pertandingkan, kami tidak akan bertanding.”

Tambahan 3% Undi Dijangka Dapat 15 Hingga 22 Kerusi Parlimen

Muhyiddin menyatakan bahawa tanpa pertandingan berbilang penjuru yang memecahkan undi, dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dengan hanya menambah 3% undi, PN dijangka boleh menambah 15 hingga 22 kerusi Parlimen.

“Sekiranya parti-parti ini tidak bersaing antara satu sama lain, kita boleh menambah kerusi, mengukuhkan kedudukan pembangkang, dan membentuk kerajaan melalui cara ini.”

Beliau meminta pengundi supaya tidak prasangka terhadap pendekatan ini, dan menyatakan bahawa dari segi matlamat jangka panjang, ia adalah agak baik.

Mengenai cadangan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kepada MCA dan MIC untuk menyertai PN, Muhyiddin berkata, sebagai Pengerusi PN, beliau juga bersetuju dengan perkara tersebut.

Sekiranya MCA dan MIC Menyertai Boleh Tambah 3 hingga 5% Kadar Sokongan

Muhyiddin menyatakan secara terus terang bahawa dalam pilihan raya akan datang, dengan hanya sokongan orang Melayu, PN tidak dapat memerintah di peringkat pusat. Namun, jika MCA atau MIC menyertai, ia boleh menambah 3 hingga 5% kadar sokongan untuk PN.

Walaupun bukan menambah 10% atau 20%, tetapi di sesetengah kawasan pilihan raya, hanya dengan menambah 2 hingga 3% undi sudah boleh menentukan kemenangan, dan perbezaan ini adalah sangat besar.

PN Tidak Boleh Hanya Bergantung Pada Sokongan Melayu

Beliau berkata, jika PN bertanding sendirian dalam pilihan raya akan datang, sokongan majoriti orang Melayu sahaja masih tidak mencukupi. PN tidak boleh hanya bergantung pada sokongan orang Melayu.

Realitinya, terdapat lebih 30% pengundi adalah bukan Melayu, termasuk Cina, India dan Orang Asal, jadi mereka harus sentiasa memperkukuhkan gabungan.

“Kini, kami sedang mara ke arah itu.”

Beliau berkata, sokongan orang Cina terhadap PN masih kecil, dan punca masalahnya adalah persepsi mereka bahawa PN mewakili orang Melayu atau Islam, dan imej ini sukar dihilangkan dalam politik.

“Kami tidak hanya menumpukan pada hak orang Melayu, kami juga tidak hanya bercakap tentang Islam, kami juga tidak hanya bercakap tentang isu undang-undang. Kami mempunyai cara pemerintahan kami sendiri, pengurusan kami adalah teratur, mengikut Perlembagaan dan undang-undang. Namun, masalahnya, imej ini masih teguh berakar umbi dalam pemikiran bukan Islam, bukan Melayu. Kita harus menangani masalah ini.”

Najis tikus ‘bersepah’, 8 daripada 30 premis makanan diperiksa kotor, diarah ditutup

Najis tikus ‘bersepah’, 8 daripada 30 premis makanan diperiksa kotor, diarah ditutup

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan premis makanan ditutup selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi Penguatkuasaan Malam (OPM) yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar ibu negara.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan di Taman Maluri, Jalan Raja Bot, Jalan Hj Hussein, Kampung Bharu dan Jalan Datuk Keramat.

“Sebanyak 30 premis diperiksa menerusi operasi berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati lapan premis telah diarahkan tutup,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut DBKL, pihaknya turut mengeluarkan 16 kompaun atas pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pemilik serta pekerja premis terbabit.

Jelas DBKL, antara kesalahan dikesan ialah pemilik atau pekerja gagal mendapatkan suntikan tifoid dan tidak menghadiri kursus pengendali makanan selain ada yang tidak memasang perangkap minyak di bawah sinki serta gagal menyelenggaranya.

“Pemeriksaan juga mendapati terdapat urungan najis tikus dan lipas di bahagian dapur serta rak penyimpanan makanan, lantai dan dinding kotor serta sisa makanan bersepah.

“(Malah) ada pemilik meletakkan kerusi dan meja di kaki lima serta beroperasi tanpa lesen perniagaan,” jelasnya.

DBKL menegaskan tindakan penguatkuasaan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“(Ini) bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi piawaian kebersihan dan syarat kesihatan yang ditetapkan,” ujarnya.

Ibu tunggal diperdaya ‘bomoh’ serah video, gambar tanpa seurat benang

Ibu tunggal diperdaya ‘bomoh’ serah video, gambar tanpa seurat benang

ROMPIN – Gara-gara percaya terkena ‘buatan orang’ seorang ibu tunggal bukan sahaja mengalami kerugian sebanyak RM103,000 malah turut menyerahkan videonya melakukan hubungan seks, beronani dan gambar bogel serta air mani kepada suspek bagi melakukan rawatan mistik.

Mangsa berumur 51 tahun yang berasal dari Terengganu dan bekerja sendiri sebagai tukang jahit telah menjual empat utas gelang tangan emas bernilai RM71,350 untuk diserahkan kepada suspek bersama seutas rantai emas bagi tujuan perubatan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian bermula 1 September lalu selepas mangsa yang mempunyai tiga anak berkenalan dengan seorang lelaki di Aplikasi Omi dan telah berhubung melalui Telegram.

“Lelaki tersebut mengatakan mangsa telah terkena buatan orang dan akan membantu merawat pengadu serta meminta mangsa untuk menggenggam sebiji telur dan garam.

“Barang tersebut perlu diletakkan dalam bilik dan mangsa berasa seperti telah dipukau serta telah menunjukkan barang-barang emas miliknya,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya pada 3 September lalu mangsa telah menjual empat utas gelang tangan emas berjumlah RM71,350 sebelum meletakkan wang berjumlah RM71,000 bersama seutas rantai emas dengan anggaran berat 80 gram berhampiran longkang di bawah pokok dekat kawasan Bukit Serok, Kota Bahagia.

Katanya, mangsa diberitahu wang tersebut akan diterima semula dalam tempoh tiga hingga empat hari atau dua minggu kerana wang tersebut ghaib dan mangsa perlu meneruskan rawatan tersebut.

Tambahnya, mangsa juga diarahkan menyerahkan air mani mana-mana lelaki dan membuat video melakukan hubungan seks dengan mana-mana lelaki serta menghantar video tersebut kepada suspek.

“Pada pukul 5.30 pagi 4 September lalu mangsa telah menyerahkan video melakukan hubungan seks, video beronani dan gambar dalam keadaan bogel.

“Pada pukul 6 pagi, 5 September lalu mangsa pergi semula ke tempat barangan yang ditinggalkan tersebut dan tidak menjumpai apa-apa barangan seperti yang diberitahu kepada mangsa,” katanya.

Katanya, susulan itu mangsa berasa tertipu dan datang ke Balai Polis Kota Bahagia membuat laporan polis kerana telah mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM103,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan hasil siasatan awal mendapati kes ini merupakan penipuan ‘bomoh scammer’.