Kerajaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan pengeluaran wang Skim Persaraan Swasta akan dikenakan cukai sebanyak 25 peratus apabila mencapai umur persaraan 55 tahun.
Hanya cukai pegangan dikenakan sebanyak lapan peratus kepada pencarum yang mengeluarkan caruman sebelum mencapai umur 55 tahun.
Tujuan cukai tersebut dikenakan bagi mengelak pencarum mengeluarkan simpanan mereka sebelum cukup tempohnya dan seterusnya bertentangan dengan tujuan caruman tersebut.
Bagaimanapun jelasnya, cukai tersebut akan dikecualikan kepada kes-kes tertentu termasuk pencarum meninggal dunia, disahkan menghidap penyakit serius atau kritikal, hilang upaya kekal atau menghidap ketidakstabilan mental.
Pengenalan skim tersebut yang berkuat kuasa mulai Tahun Taksiran 2012 adalah untuk menggalakkan tabungan dalam kalangan rakyat selepas umur persaraan.
Pengeluaran awal sebelum mencapai umur persaraan 55 tahun akan menyebabkan objektif asal untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai tabungan mencukupi selepas bersara tidak dapat dicapai.
Ini bagi menjelaskan dakwaan pembangkang kononnya wang caruman skim itu akan dikenakan cukai sebanyak 25 peratus sebagaimana yang tersebar dalam media-media sosial.
Sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 36,663 pencarum telah mencarum di bawah skim tersebut dengan nilai keseluruhan RM147.3 juta.