Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggariskan lima kriteria penting yang perlu diamalkan oleh pengamal media termasuk penggerak media sosial dalam setiap laporan berita.
Berucap pada majlis ‘Malam Media Perdana 2015’ di Kuala Lumpur, Khamis malam, Najib berkata kriteria itu meliputi sentiasa bersikap profesional, bertanggungjawab, memberi pandangan dan kritikan membina serta konstruktif.
“Kriteria yang ketiga adalah pengamal media mesti melaporkan sesuatu isu berdasarkan fakta yang sahih dan tepat, dan bukan berdasarkan andaian dan khabar angin walaupun mereka (pengamal media) berlumba-lumba untuk mengeluarkan berita, tetapi harus pastikan apa yang dilaporkan adalah fakta benar,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; menteri-menteri Kabinet dan pengarang kanan organisasi media tempatan serta pengamal media.
Perdana Menteri berkata kriteria keempat ialah pengamal media perlu mengamalkan media sihat dengan menolak unsur-unsur fitnah, mengadu domba, berbaur perkauman atau menyentuh soal sensitif seperti agama.
“Walaupun kita berjaya daripada segi menguruskan ekonomi negara tapi jangan lupa kita juga sebahagian daripada pembinaan negara.
“Kalau kita sebut ‘nation building’, maka kita mesti pupuk nilai-nilai baik dan positif seperti nilai wasatiyyah atau kesederhanaan, saling menghormati antara satu sama lain dan bersemangat serta berprinsip 1Malaysia supaya kita mempunyai perasaan kebersamaan,” katanya.
Selain itu, Najib berkata setiap pengamal media harus mempraktikkan etika media kewartawanan berasaskan nilai murni sejagat dalam menjalankan tanggungjawab dan kewajipan.
Najib mengingatkan pengamal media yang berhadapan dengan era perkembangan media sosial seperti ‘Facebook’, ‘Instagram’, ‘Twitter’ dan ‘WhatsApp’ supaya sentiasa peka dan membuat pelarasan tentang bagaimana bertindak sekiranya terdapat sebarang isu yang tersebar.
“Kalau 40 tahun lalu kita boleh mempunyai masa yang lama berbanding hari ini seperti contoh sekiranya ada sesuatu isu kita masih boleh respons dalam masa 24 jam tetapi hari ini sekiranya sesuatu itu sudah tersebar lebih-lebih lagi di media sosial, masa respons bukan 24 jam tetapi dua jam atau mungkin 20 minit.
“Seperkara lagi, kalau dulu berita ditulis panjang lebar dalam bentuk portal berita dan sebagainya tetapi hari ini rakyat lebih suka berita yang ringkas, padat dan santai lebih-lebih lagi jika ia mempunyai kapsyen dan gambar yang menarik,” katanya.
Malam Media Perdana 2015 dengan tema hitam-merah diadakan bertujuan memberi penghargaan kepada pengamal media sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak dalam bidang penyiaran, percetakan dan media digital yang sentiasa bertungkus-lumus memberi laporan terbaik kepada rakyat.
Najib berkata kerajaan sentiasa menganggap pihak media sebagai rakan kongsi untuk membangunkan negara ke arah merealisasikan impian sejagat untuk meletakkan Malaysia di mercu kejayaan.
Justeru, katanya media berperanan penting membentuk minda rakyat supaya mereka lebih faham akan sesuatu keputusan dan dasar yang dibuat oleh kerajaan.