TANJUNG MALIM – Calon Proaspirasi mendominasi kemenangan dalam pilihan raya kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlangsung semalam.
UPSI dalam kenyataannya di sini berkata, keputusan tersebut menyaksikan calon Proaspirasi memenangi 23 daripada 29 kerusi yang dipertandingkan dan baki enam kerusi dimenangi calon Mahasiswa Pendidik.
Menurutnya, undian terbanyak diperoleh calon umum dari Proaspirasi, Muhammad Syahmi Aiman Sulaiman yang meraih 4,813 undi.
“Proses pengundian di pusat-pusat pengundian juga secara e-undi dan berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku.
“Tepat pukul 8 pagi Pendaftar UPSI, Mohd. Faizi Othman yang mewakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa membuka sistem pengundian secara e-undi di Dewan Besar KSAS,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, keadaan jerebu di sekitar Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) dan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah juga tidak menghalang 7,684 pelajar iaitu 69.4 peratus untuk membuat pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tersebut.
“UPSI menyediakan 190 komputer riba yang diletakkan di lapan pusat pengundian di kedua-dua kampus.
“Keputusan penuh diumumkan pada kira-kira pukul 5.50 petang oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Datuk Dr. Junaidi Abu Bakar,” katanya.