Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, secara prinsipnya beliau tidak dijemput menghadiri Kongres Maruah Melayu yang dijadual Ahad ini.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan pihak yang terlibat dengan program itu agar tidak ‘memanaskan’ suhu politik kaum.
“Saya tidak dijemput tetapi saya fikir penting kita jaga apa pun tujuan kongres itu supaya jangan kita tidak panaskan suhu politik kaum.
“Lebih lagi kalau ada usaha pihak tertentu yang sengaja mahu membangkitkan isu perkauman.
“Kita tahu ada sesetengah itu antara pendukung team lama yang paling kuat perkauman mereka, jadi kita harus berwaspada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Temu Anwar @UiTM di Dewan Sri Budiman UiTM Shah Alam hari ini.
Anwar berkata, kalau tujuan kongres itu untuk membawa kebaikan, beliau tidak ada masalah dengan penganjurannya.
Kongres Maruah Melayu yang akan berlangsung pada 6 Oktober ini di Stadium Tertutup Melawati Shah Alam dianjurkan empat institut pengajian tinggi awam (IPTA) dengan Universiti Malaya (UM) selaku sekretariat induknya.
Tiga lagi IPTA yang terlibat ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan akan hadir pada kongres yang menampilkan Perdana Menteri, Tun Dr, Mahathir Mohamad sebagai pihak yang diberi amanah untuk menyampaikan amanat.
Manakala, UMNO hari ini turut menyatakan kehadirannya yang diketuai Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Ibrahim. – MalaysiaGazette