NEW CLARK CITY (Filipina) ― Selepas gagal menyerlah dalam acara 200 meter (m) kuak dada wanita semalam, perenang kebangsaan Phee Jinq En meraih emas pertama negara, di kolam renang Sukan SEA ke-30 di Filipina semalam.
Perenang berusia 21 tahun kelahiran Selangor yang kini melanjutkan pelajarannya dengan dua jurusan iaitu pemasaran dan pengurusan di Universiti Purdue di Indiana Amerika Syarikat itu, menang emas selepas mencatatkan masa 31.40 saat (s) dalam acara 50m kuak dada wanita, di Pusat Akuatik New Clark City, di sini.
Perenang Thailand Jenjira Srisa dan Christie Chue May Mun Ee dari Singapura, masing-masing memenangi perak (31.41s) dan gangsa (31.43s).
Seorang lagi perenang negara Alicia Soosai menduduki tempat ketujuh dari lapan perenang, dengan catatan masa 33.24s.
Terdahulu Jinq En mencatatkan masa yang sama yang memadamkan rekod kebangsaan 31.46s yang dicatatkannya di Sukan Asia Indonesia 2018.
“Saya amat gembira untuk memenangi pingat ini, selepas terlepas dua kali dan menang pada kali ketiga, satu yang amat menarik, dan saya akan cuba sebaik saya untuk mengekalkan pingat emas dalam acara 100m kuak dada pada hari terakhir pertandingan (9 Dis), walaupun pesaing saya juga semakin pantas,” katanya kepada wartawan selepas majlis penyampaian hadiah di sini.
Sementara itu perenang muda Khiew Hoe Yean menunjukkan prestasi memberangsangkan selepas memenangi pingat gangsa acara 200m kuak dada lelaki.
Atlet Singapura Quah Zheng Wen mengekalkan pingat emas yang dimenanginya di Sukan SEA Kuala Lumpur, dengan mencatatkan masa 2 minit 00.06 saat, manakala Farrel Armandio Tangkas dari Indonesia menang perak (2:02.75s).
Dua lagi perenang kebangsaan ― Chan Jie dan Bryan Leong Xin Ren gagal memberikan prestasi baik dalam 100m kuak kupu kupu, selepas masing-masing menamatkan renangan di tempat ke tujuh dan kelapan.
Singapura mengondol dua tempat teratas melalui juara Olimpik Joseph Isaac Schooling (51.84s) dan Quah Zheng Wen (51.87s) diikuti Paul Le Nguyen dari Vietnam gangsa (53.89s).
Skuad kuartet kebangsaan yang disertai Welson Sim Wee Sheng, Chan Jie, Keith Lim dan Arvin Chahal Singh juga gagal memenangi pingat selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat daripada tujuh pasukan bagi acara 4X100m gaya bebas berganti-ganti lelaki dengan mencatatkan masa 3:23.87s.
Singapura mengekalkan pingat emas dengan catatan rekod baharu Sukan SEA 3:16.82s diikuti Filipina (3:22.32s) dan gangsa dimenangi Vietnam (3.22.45s).
Malaysia telah mengutip dua pingat perak melalui Welsom Sim dalam acara 400m gaya bebas dan juga 4X200m gaya bebas berganti-ganti lelaki, pada hari pembukaan acara renang kelmarin. ― Bernama