Tiga rakyat Malaysia maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di Kaikōura, New Zealand pada Jumaat, waktu tempatan.
Wisma Putra ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian berkenaan dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand sedang mendapatkan maklumat mangsa yang terlibat.
Sementara itu, portal Polis New Zealand melaporkan tiga individu meninggal dunia akibat kemalangan yang melibatkan kereta dan trak pada jam 3.10 pagi, waktu tempatan.
Laporan itu menyatakan, seorang individu mengalami kecederaan kritikal manakala tiga yang lain mengalami kecederaan sederhana dan serius. Helikopter telah digunakan untuk membantu membawa mangsa yang cedera ke hospital.
Portal berita yang lain menyifatkan kemalangan itu sebagai “tragedi yang dahsyat” bagi semua yang terlibat apabila dua kru bomba Kaikōura terpaksa menggunakan peralatan memotong kenderaan untuk mengeluarkan penumpang daripada kereta.
Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan. — Bernama