Macam-macam kaedah digunakan peniaga untuk melariskan jualan – namun ada cara yang tidak boleh ditiru.
Portal berita Taiwan SETN melaporkan seorang pemilik restoran yang menjual mi siput di Guangxi, China, ditahan polis kerana didakwa menggunakan serbuk kas kas (serbuk candu) dalam masakannya.
Menurut pihak polis, tindakan itu dilakukan agar para pelanggannya ketagih mi ‘istimewa’ itu lantas akan kerap kembali ke restorannya.
Tembelang pemilik restoran itu terbongkar apabila seorang lelaki dikesan positif morfin, iaitu komponen aktif dalam candu, apabila menjalani ujian dadah oleh pihak polis.
SETN melaporkan lagi bahawa lelaki itu terkejut dengan keputusan ujian itu, berkali-kali bertegas bahawa beliau tidak pernah mengambil dadah.
Siasatan lanjut mendapati lelaki itu hanya makan semangkuk mi sup siput di sebuah restoran beberapa hari sebelumnya.
Pihak polis kemudian membuat keputusan untuk melakukan pemeriksaan di premis restoran tersebut, di mana mereka menemui sebungkus serbuk kas kas.
Apabila disoal siasat, pemilik restoran itu mengaku menambah serbuk tersebut dalam sajiannya demi melariskan jualan.
Dalam satu pengakuan di mahkamah pada 17 Disember, pemilik restoran yang dikenali sebagai Yang, mendedahkan dia memproses sendiri serbuk itu daripada selaput biji popi yang ditanam di kediamannya.
– Agensi berita/TQ/tq