NARATHIWAT: Sambutan Hari Kanak-Kanak di Narathiwat pada hari Sabtu (11 Jan) bertukar tragik apabila dua kanak-kanak dikhuatiri lemas dalam dua kejadian berasingan di Pantai Narathat.
Ketua Pejabat Daerah Mueng Narathiwat Yahya Paknaha berkata dalam kejadian pertama yang berlaku pada kira-kira pukul dua petang (waktu tempatan), empat kanak-kanak berusia antara enam dengan 10 tahun dihanyutkan arus deras ketika sedang berenang di pantai bersama keluarga mereka.
Menurutnya, tiga daripada mereka berjaya diselamatkan oleh orang awam namun, seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun masih hilang.
“Sekitar 30 minit kemudian, kami menerima satu lagi laporan di mana enam kanak-kanak berusia antara enam dengan 10 tahun dihanyutkan arus, sekitar 500 meter dari lokasi insiden pertama.
“Kesemua mereka dapat diselamatkan kecuali seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang masih hilang,” katanya sambil menambah operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan.
Tahun lalu, dua kanak-kanak lemas di pantai yang sama semasa sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat kebangsaan. – BERNAMA