SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Encik Heng Swee Keat berkata sektor pelancongan dan pengangkutan akan menerima lebih banyak sokongan khusus daripada Pemerintah bagi menangani dengan kesan virus korona Wuhan.
Encik Heng yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, “Sektor yang paling terjejas ialah sektor pengangkutan dan pelancongan. Dan maka itu, kami memerlukan langkah yang lebih khusus untuk menangani keperluan-keperluan sektor ini.”
Perincian penuh tentang langkah-langkah untuk membantu sektor-sektor tersebut akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2020 pada 18 Februari ini, kata Encik Heng.
Dalam satu kenyataan bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan yang dikeluarkan pada Sabtu (1 Feb), kedua-dua sektor itu dikatakan terjejas dek kemerosotan dalam trafik udara menerusi Lapangan Terbang Changi.
Pembatalan tempahan bilik hotel juga meningkat.
Bercakap kepada wartawan di Shangri-la Rasa Sentosa selepas menemui kakitangan hotel tersebut untuk mengetahui bagaimana mereka menangani situasi tersebut, Encik Heng memberi amaran kesan ekonomi disebabkan wabak kesihatan itu mungkin meluas dan bertambah.
“Maka itu, kami akan ada Belanjawan 2020 yang kukuh,” kata Encik Heng.
Pemerintah, tambah kenyataan itu bersedia untuk memberi sokongan kepada syarikat-syarikat dan para pekerja setempat seandainya berlaku kelembapan yang menjejas ekonomi negara ini pada bulan-bulan mendatang.
Ini termasuk membantu mereka dengan masalah aliran tunai jangka pendek, di samping membantu syarikat mengekalkan dan melatih pekerja mereka dengan menyediakan beberapa bentuk bantuan menampung kos gaji mereka.
“Virus korona Wuhan berlaku secara tiba-tiba, tanpa dijangkakan di tengah-tengah tanda awal ekonomi global yang kian stabil,” menurut kenyataan kementerian itu.
Encik Heng, MOF dan MTI menekankan bahawa keadaan virus korona baru itu berubah dengan pantas.
Encik Heng berkata bagi Belanjawan yang akan datang, beliau sudahpun menyediakan pakej mengambil kira kelembapan ekonomi disebabkan oleh perang dagang antara Amerika Syarikat dan China.
“(Tapi) dengan wabak imi kami bersedia untuk melakukan lebih,” katanya.
Encik Heng menambah bahawa ramai rakyat telah menyuarakan keprihatinan mengenai ekonomi dan bagaimana keadaan akan berubah.
“Saya faham benar kebimbangan rakyat Singapura. Dan saya ingin memberi jaminan kepada semua bahawa Pemerintah akan mengambil tindakan bersepadu meliputi semua aspek,” katanya.
– CNA/UR/ur