SINGAPURA: Yuran lesen bagi hotel, ejen pelancongan dan pemandu pelancong akan diketepikan sebagai sebahagian daripada langkah untuk membantu sektor perlancongan di negara ini yang “terjejas secara langsung” akibat penularan virus korona 2019-nCoV, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) hari ini (2 Feb).
STB juga akan menampung kos pembersihan di hotel-hotel yang menyediakan penginapan kepada mereka yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus korona baru itu.
Skim-skim tersebut adalah langkah pertama dalam membantu perniagaan pelancongan “menangani kesan segera” akibat penularan virus itu, menurut STB lagi.
“Sektor pelancongan terjejas secara langsung akibat virus korona baru, akibat kemerosotan dalam jumlah pelawat, terutama sekali dari China,” kata STB dalam satu kenyataan media hari ini.
Pelancong dari China membentuk sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pelawat asing ke Singapura, dengan sekitar 3.6 juta pelancong yang tiba di Singapura pada 2019.
Pada awal minggu ini, Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong mengumumkan sekatan perjalanan lebih meluas yang meliputi semua pengunjung ke Singapura – tidak kira kewarganegaraan mereka – yang mengunjungi China baru-baru ini.
Mereka juga tidak akan dibenarkan membuat persinggahan ke Singapura, sebagai sebahagian daripada sekatan yang berkuatkuasa pada 11.59 malam pada Sabtu (1 Feb).