Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), menyambut baik sebarang bentuk penyatuan politik, asalkan orang Melayu Islam dominan dalam pentadbiran negara serta menguntungkan Islam dan agenda pemerkasaan Bumiputera.
Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya (gambar bawah) berkata, sokongan itu bertepatan dengan tuntutan syarak yang menghendaki orang Islam menentukan polisi dan masa depan negara, manakala bukan Islam pula boleh berperanan dalam perlaksanaan teknikal.
“Kerajaan perpaduan ini mesti menolak DAP dan segala konconya termasuk yang membawa fahaman liberal yang songsang.
“Jika tidak, gabungan atau kerjasama ini tidak akan membawa apa-apa perubahan malah mungkin hanya akan mengulangi segala kesilapan lampau yang merugikan kita semua,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendedahkan rakaman suara Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – yang muncul tiba-tiba – dalam mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam.
Dalam rakaman berkenaan, Ahmad Zahid menggariskan empat sebab utama beliau mahu UMNO bekerjasama dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Empat sebab utama digariskan beliau meliputi keperluan UMNO menjaga Muafakat Nasional dengan UMNO kena ikut PAS bekerjasama dengan Dr Mahathir supaya tidak ketinggalan; serta demi menyelamatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Selain itu, kebimbangan UMNO diharamkan dan kesediaan Ahmad Zahid menggunakan kuasa veto sebagai presiden sekiranya memerlukan.
Mengulas perkara itu, Haji Aminuddin berkata, peranan ulama dan ilmuan Islam mesti diangkat sebagai ‘check and balance’ bagi memastikan perjalanan negara tidak tersasar dari landasan syarak.
“Tidak dilupakan juga, penyatuan ini perlu mengangkat peranan dan suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak menyumbang dan berjuang dalam pelbagai segmen masyarakat, juga sebagai ‘check and balance’.
“Kita juga menyeru agar segala usaha dapat diusahakan secepat dan seikhlas mungkin,” katanya.