Seorang askar Thailand dilaporkan melakukan tembakan secara terbuka di beberapa lokasi di Nakhon Ratchasima, di kawasan timur laut negara itu, yang meragut sekurang-kurangnya 17 nyawa.
Menurut laporan Al Jazeera yang memetik agensi AFP, askar itu yang identitinya dikenal pasti sebagai Sarjan Mejar Jakapanth Thomma, menggunakan mesingan.
“Seorang lelaki bersenjata menggunakan mesingan dan menembak mangsa tidak bersalah menyebaban ramai yang cedera dan mati,” kata seorang jurucakap polis seperti dipetik laporan itu.
Jurucakap tersebut tidak dapat mengesahkan jumlah kematian tetapi menurut media tempatan, angka korban boleh mencecah 20 nyawa.
Menurut laporan itu, Jakapanth melarikan sebuah kenderaan senjata dan memuat naik gambar dan video yang memaparkan dirinya dengan kelengkapan taktikal, sambil melakukan serangan.
Antara video dan gambar yang dimuat naik memaparkan orang ramai melarikan diri dan bunyi semacam tembakan senjata automatik.
Menurut Reuters pula, terdahulu hari ini lelaki itu memuat naik status bertulis “tiada siapa dapat mengelak kematian” di akaun Facebooknya.
Menurut polis, Pada mulanya dia pergi ke sebuah rumah di bandar itu dan menembak mati dua individu, sebelum ke tempat simpanan senjata di pangkalan tentera dan mengambil senjata baru, selain menembak beberapa orang di situ.
Polis memaklumkan lelaki itu kini berada berhampiran sebuah kompleks membeli-belas dan setakat ini masih bebas, menurut Reuters lagi.
Bagaimanapun polis berkata pihaknya telah menutup kawasan sekitar kompleks membeli-belah itu.