SEBELUM ini mungkin ramai yang memandang rendah terhadap sayur kangkung kerana ia dikategorikan sebagai makanan murah dan senang didapati.
Tetapi saranan doktor kesihatan profesional (MBBS), Dr Noordin Darus ketika menghadiri wacana Sinar Harian Siri 155 bertajuk: Koronavirus: Adakah kita lambat bertindak? agar makan lebih sayuran termasuk kangkung membuatkan ramai mula memberi perhatian kepadanya.
Mana tidaknya, kangkung memiliki khasiat dalam meningkatkan ketahanan badan sekaligus boleh mencegah penularan wabak koronavirus yang melanda seluruh dunia ketika ini.
Tapi tahukah anda sebenarnya kangkung yang mudah tumbuh di kawasan berair mempunyai pelbagai khasiat termasuklah mengandungi vitamin A dan vitamin C.
Selain itu, kangkung turut mempunyai pelbagai mineral seperti kalium, kalsium, zat besi dan natrium. Paling penting ia rendah kalori.
Ia bukan sahaja mempunyai rasa yang enak tetapi terdapat pelbagai manfaat jika mengamalkan pemakanannya;
Kangkung mempunyai pelbagai khasiat.
1. Menjaga kesihatan mata
Kangkung kaya dengan vitamin A yang baik untuk mata anda sebab ia mampu melindungi kornea dan lapisan mata daripada bakteria dan virus. Vitamin ini juga dapat meningkatkan penghasilan cecair yang melembapkan deria penghilatan itu.
2. Mencegah diabetes
Pada 2013, pengkaji berjaya menemukan kangkung dapat mencegah diabetes pada ibu hamil kerana ia mempunyai antioksidan yang mampu menghalang pertumbuhan sel-sel diabetes.
3. Melawan kerosakan hati
Sejak berabad lalu, manfaat kangkung diketahui mujarab untuk melawan kerosakan hati dan kajian dalam jurnal Molecules membuktikan ia juga mampu menyembuhkan luka dan radang dengan cepat.
Ini kerana kangkung mempunyai enzim yang akan membersihkan hati dari racun dan zat yang menyebabkan kerosakan.
4. Mengatasi anemia
Mineral yang terdapat pada sayur itu juga boleh membantu mengatasi masalah anemia kerana ia tinggi dengan kandungan zat besi dan fostor.
Zat besi penting untuk meningkatkan produksi sel darah merah dan melancarkan perjalanan oksigen.
5. Mengurangkan risiko penyakit kronik
Kangkung tinggi vitamin C dan mampu meningkatkan kekebalan tubuh sekaligus melawan kerosakan sel pada penyakit kronik seperti jantung dan strok.