SEBANYAK 69 individu termasuk 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih sejak April lalu hingga semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, semua individu ditahan dalam Op Covid-19 dan Op Benteng itu membabitkan enam daerah pantai pesisir pantai di Selangor iaitu Kuala Langat, Klang Selatan, Klang Utara, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.
“Seramai 45 pati yang ditahan itu ketika cuba keluar dan masuk secara tidak sah melalui lorong tikus di kawasan itu.
“Manakala selebihnya membabitkan warga tempatan yang melakukan kesalahan seperti melanggar PKP, penyalahgunaan dadah, jenayah dan juga tekong darat.
“Semua yang ditahan berusia lingkungan 20an hingga 50an membabitkan lelaki dan wanita. Bagi tangkapan ini sebanyak 13 laporan dibuka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan kerja Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Superintendan Rudy Abdullah ke Markas Taktikal (MARTEK) Morib, Banting petang ini.
Yang turut hadir, Pegawai Penjaga Medan Op Benteng Covid-19, MARTEK Morib, Asisten Superintendan Mohd Khairi Hashim.
Sementara itu, Rudy berkata, lawatan kerja itu bagi melihat sendiri lokasi lorong tikus yang dinyatakan sebelum ini.
“Sebelum ini, saya ada sebut sebanyak 61 lorong tikus yang menjadi laluan keluar dan masuk PATI ke negara ini melalui perairan Selangor sudah dikenalpasti.
“Kita sudah tinjau melalui laut dan udara, manakala hari ini pula kita melakukan tinjauan di beberapa pos di daerah Kuala Langat ini, termasuk pos MARTEK, pos Tanjung Layang dan pos Jeti Kundang.
“Sebagai makluman, terdapat enam pos PGA di sini membabitkan lebih 200 pegawai dan anggota PGA Batalion 4 Semenyih,” katanya.
Beliau berkata, lawatan itu juga bagi melihat penugasan dan mengambil berat keadaan anggota di setiap pos yang sentiasa berusaha mengekang kemasukan PATI ke negara ini.
Katanya, beliau juga akan mengadakan lawatan kerja ke daerah persisir pantai lain di negeri ini dalam masa terdekat.
SUPERINTENDAN Rudy Abdullah (tengah) ketika membuat pemantauan di pos kawalan PGA di Pos Tanjung Layang dan Pos Jeti Kundang, Banting.