Penyanyi Siti Sarah Raissuddin memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia terutama masyarakat Orang Asli berhubung kontroversi video yang mencetuskan kecaman netizen terhadap dirinya, sejak beberapa hari lalu.
Didakwa menghina Orang Asli dalam video yang dimuat naik seorang individu melalui akaun Twitter, Sarah mempertahankan dirinya sentiasa mementingkan etika dalam setiap perkara dilakukan.
“Saya amat berharap permohonan maaf ini diterima kerana ia bukanlah sesuatu yang disengajakan.
“Saya mohon isu ini tidak akan diperbesarkan lagi dan kenyataan ini akan menjadi yang pertama dan terakhir daripada saya,” katanya dalam kenyataan.
Dalam rakaman video viral itu, Sarah mempromosikan sejenis syampu bersama Pengarah Syarikat House of Ridz Okumura Sdn Bhd, Ridzo Okumura.
Namun, kenyataan Sarah yang memetik nama Orang Asli dalam rakaman video berkenaan dikecam netizen yang mendakwa, penyanyi lagu Kesetiaan itu menghina masyarakat Orang Asli.
Dalam penjelasannya, Sarah turut menerima permohonan maaf Ridzo yang mengaku memuat naik video perbualan mereka tanpa mendapat keizinan dirinya sehingga menjadi tular.
“Lebih dua dekad dalam industri seni tanah air, saya sangat mementingkan etika dalam setiap perkara yang dilakukan termasuk entri yang ingin dimuat naik di media sosial.
“Saya percaya segala perbuatan akan menjadi perhatian masyarakat. Namun, susulan insiden yang tercetus, ia sedikit sebanyak menjejaskan reputasi saya sebagai selebriti dan usahawan,” katanya.
Sarah berkata, tidak pernah terlintas dalam hatinya untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak, malah menghormati seluruh rakyat Malaysia.
“Bagaimanapun, sebagai manusia kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan,” katanya.
Susulan penjelasan dan permohonan maaf itu, cadangan syarikat pengurusan Sarah, Indigital Music untuk mengadakan sidang media berhubung kontroversi berkenaan, hari ini, dibatalkan.