Ribuan orang yang mewakili pelbagai kumpulan masyarakat pada Selasa mengadakan demonstrasi di Jakarta dan beberapa bandar lain di seluruh Indonesia sebagai membantah rancangan kerajaan untuk menaikkan harga minyak bersubsidi sebanyak Rp1,500 (55 sen) pada bulan depan.
Di ibu negara, demonstrasi bertumpu di tiga tempat iaitu di Bulatan Hotel Indonesia, di hadapan bangunan Parlimen dan di hadapan Istana Merdeka, iaitu Pejabat Presiden Indonesia.
Pihak polis mengarahkan kumpulan-kumpulan penunjuk perasaan itu supaya berdemonstrasi mengikut giliran bagi mengelakkan pergaduhan dan memudahkan pasukan keselamatan mengawal ketenteraman awam.
Kebanyakan demonstrasi berlangsung secara aman, namun ada beberapa insiden pergaduhan antara penunjuk perasaan dan anggota polis, sehingga memaksa polis menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan demonstrasi itu.
Kumpulan-kumpulan yang berdemostrasi di hadapan Istana Merdeka termasuklah dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pimpinan bekas Presiden Indonesia Megawati Soekarnoputri dan pertubuhan Hizbut Tahrir Indonesia (HTI), yang sebelumnya telah juga berdemonstrasi di Bulatan Hotel Indonesia.
Jurucakap HTI Muhammad Ismail Yustanto berkata kenaikan harga minyak, pembatasan minyak bersubsidi serta penarikan balik subsidi minyak, akan mengungtungkan syarikat minyak asing dalam jangka masa panjang.
“Jika tidak ada inovasi, kegiatan perniagaan Pertamina (syarikat minyak nasional) akan menjadi tidak kompetitif, sehingga Pertamina akan berpindah kepada syarikat minyak asing itu.
“Hal ini tentu akan merugikan Pertamina,” katanya.
Pada masa ini Pertamina memonopoli penjualan minyak petrol oktan 88 yang bersubsidi, dengan harga runcit Rp4,500 seliter (kira RM1.60 seliter) dan selepas kenaikan harga yang dicadangkan itu, harga baru akan menjadi Rp6,000 (kira-kira RM2.15).
Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang dijadual bersidang hari ini untuk membincangkan keputusan kerajaan untuk menaikkan harga minyak itu telah menangguhkan persidangannya kepada Khamis ini.
Sementara itu, sejumlah mahasiswa yang berdemonstrasi di Palu, Sulawesi Tengah, terlibat dalam pergaduhan dengan anggota polis, mengakibatkan sejumlah penunjuk perasaan ditahan.
Kejadian di Palu itu turut mengakibatkan dua orang wartawan yang sedang membuat liputan, cedera terkena lemparan batu dan pukulan kayu.
Pergaduhan turut berlaku Di Mataram, Nusa Tenggara Barat (NTB), bila pasukan polis berusaha mencegah tindakan sekumpulan mahasiswa yang cuba menyekat sebatang jalan dan merampas sebuah kereta milik kerajaan tempatan Bandar Mataram.
Dalam kejadian itu pemandu kereta berkenaan dipaksa turun dan kumpulan mahasiswa kemudian menampal tulisan “kereta ini dilelong untuk rakyat”.
Tunjuk perasaan turut berlangsung di beberapa bandar lain seperti Surabaya, di Jawa Timur; Daerah Istimewa Yogyakarta, Bandung, di Jawa Barat; Banda Aceh di Sumatera; dan Makasar di Sulawesi Selatan.
Polis menyediakan sejumlah 22,000 anggota pasukan keselamatan termasuk 8,000 anggota tentera untuk mengawal tempat-tempat penting seperti pelabuhan, lapangan terbang dan jalan tol.
Pasukan keselamatan juga mengawasi kegiatan stesen minyak di 540 tempat di Jakarta dan bandar-bandar di sekitarnya selain mengawal kawasan depo syarikat minyak nasional, Pertamina.