NICE: Seorang lelaki bersenjatakan pisau di sebuah gereja di sini membunuh tiga orang awam, dengan mengelar leher salah seorang dan mencederakan beberapa yang lain sebelum diberkas polis.
Sementara itu, Pendakwa Raya anti-keganasan Perancis sudah membuka siasatan berhubung kejadian itu yang disifatkan Datuk Bandar Christian Estrosi sebagai ‘serangan Islam-fasis.’
Estrosi memberitahu pemberita di tempat kejadian: “Dia (penyerang) terus mengulangi ‘Allahu Akbar’ (Allah Maha Besar) walaupun ketika menerima rawatan selepas dia cedera ketika ditahan.”
Menurut sumber polis, dua mangsa meninggal dunia di Gereja Basilica Of Notre-Dame, di tengah-tengah bandar di pantai Mediterranean itu, sementara mangsa ketiga meninggal dunia akibat cedera selepas berlindung di sebuah bar berhampiran.
Menurut jurucakap polis Florence Gavello, situasi kini adalah terkawal.
Susulan serangan itu, Ahli Parlimen mengadakan upacara bertafakur selama seminit hari ini sebelum Perdana Menteri Jean, Castex dan menteri lain mengadakan pertemuan tergempar dengan Presiden Emmanuel Macron.
Estrosi, yang memaklumkan bahawa Macron akan tiba di Nice, meminta gereja di seluruh negara diberikan perlindungan keselamatan tambahan atau ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.
Serangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas ribuan orang berkumpul di seluruh Perancis untuk menyatakan sokongan terhadap seorang guru yang dipenggal kerana menunjukkan kartun memaparkan Nabi Muhamad kepada anak muridnya. – AFP