Kerana dijarah dan di perah semenjak rejim PH sehingga era Tok Abah Kau, Petronas terpaksa bergantung kepada hasil bon untuk pelaburan modal, modal kerja, pembiayaan semula dan tujuan korporat am. Daripada RM174 bilion aset tunai yang ditinggalkan oleh kerajaan BN, sekarang bersisa kurang RM90billiom walaupun jumlah keuntungan bersih hampir RM100 bilion dalam tahun 2018 (RM47.9b) dan tahun 2019 (RM49.9b). Untuk menampung awal belanjawan 2021, Petronas terpaksa mengorek lagi aset tunai mereka sekurang-kurangnya RM24 bilion.
PETRONAS mencatatkan kerugian RM3.4 bilion pada suku ketiga 2020 berbanding keuntungan RM7.4 bilion pada suku sama 2019.
Ia berikutan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah, rosot nilai terhadap aset yang tinggi dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi susulan tinjauan harga minyak dan gas yang rendah.
Namun begitu, jika tidak termasuk kerugian rosot nilai, syarikat minyak dan gas nasional itu mencatatkan keuntungan RM2.6 bilion.
Pada suku dikaji, syarikat minyak dan gas nasional itu mencatatkan pendapatan RM41.1 bilion, rendah 25 peratus berbanding RM55.1 bilion pada suku sama 2019 berikutan purata harga realisasi bagi produk utamanya yang rendah.
Sementara itu, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2020, PETRONAS mencatatkan pendapatan RM134.7 bilion, susut 24 peratus berbanding RM176.2 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya berikutan purata harga realisasi yang lebih rendah untuk semua produk dan jumlah jualan yang lebih rendah, kebanyakannya dari gas yang diproses, gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum.
Dalam tempoh itu, EBITDA berada pada RM43.4 bilion, susut 41 peratus berbanding RM73.5 bilion dalam tempoh sebelumnya sejajar dengan pendapatan rendah dengan sebahagiannya diimbangi oleh kos yang rendah.
Dengan EBITDA yang rendah dan kerugian rosot nilai terhadap aset, PETRONAS mencatatkan kerugian RM19.9 bilion bagi tempoh sembilan bulan 2020 berbanding keuntungan RM36.4 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Jika tidak termasuk rosot nilai, syarikat minyak dan gas nasional itu mencatatkan untung sebanyak RM10.3 bilion, 74 peratus lebih rendah berbanding RM39.4 bilion pada 2019.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata syarikat minyak dan gas nasional itu mencatatkan sedikit kemajuan pada suku ketiga berbanding suku sebelumnya susulan pelonggaran kawalan pergerakan yang mendorong aktiviti ekonomi bermula semula secara beransur-ansur di seluruh dunia.
Beliau berkata, di tengah-tengah persekitaran operasi yang tidak menentu susulan pandemik dan turun naik tidak menentu harga minyak yang berpanjangan, PETRONAS bersikap berhati-hati dan menjangkakan baki bagi tahun 2020 akan mencabar.
Katanya, PETRONAS menjangkakan prestasinya akan terus dipengaruhi oleh turun naik harga minyak yang disebabkan oleh wabak COVID-19 yang berterusan.
Tegasnya, PETRONAS kekal fokus pada langkah untuk membentuk semula portfolio, menyusun kembali persamaan modal insan dan pelaksanaan berfokus yang pantas dalam menguruskan persekitaran perniagaan yang tidak dapat dijangkakan ketika ia berusaha ke arah strategi pertumbuhan serampang tiga matanya.
“Aspirasi PETRONAS yang diumumkan baru-baru ini untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050, menggariskan komitmen kukuh kami terhadap kelestarian.
“Kami komited untuk memberikan penyelesaian tenaga yang lebih bersih melalui tawaran yang inovatif dan memanfaatkan kemajuan teknologi kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2020, PETRONAS menjana Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) positif berjumlah RM32.6 bilion, 50 peratus lebih rendah berbanding RM64.6 bilion tempoh sama tahun lalu.
Dalam tempoh itu, pelaburan modal berjumlah RM22.5 bilion, sementara jumlah aset berkurangan kepada RM594.8 bilion setakat 30 September 2020 berbanding RM622.4 bilion setakat 31 Disember 2019.
Ekuiti pemegang saham mencatatkan penurunan kepada RM337.2 bilion setakat 30 September 2020 berbanding RM389.1 bilion pada 31 Disember 2019 terutamanya disebabkan oleh kerugian yang dicatatkan dalam tempoh itu dan dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham berjumlah RM34.0 bilion, yang mana pembayaran dividen RM24.0 bilion berdasarkan prestasi tahun kewangan 2019.
Baki RM10 bilion adalah dividen tambahan diluluskan Lembaga Pengarah untuk menyokong cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini dicetuskan pandemik COVID-19.
Nisbah pengearan meningkat kepada 25.3 peratus setakat 30 September 2020 berbanding 19.4 peratus pada 31 Disember 2019, terutamanya disebabkan oleh pengurangan ekuiti yang berkaitan dengan kerugian untuk tempoh berakhir 30 September 2020 dan terbitan bon baharu AS$6 bilion pada April 2020.
Hasil bon akan digunakan untuk pelaburan modal, modal kerja, pembiayaan semula dan tujuan korporat am.