PERSATUAN Permotoran Malaysia (MAM) menyatakan kesudian bagi memastikan pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi terus kekal dalam arena sukan permotoran.
Difahamkan, bekas pemenang Grand Prix (GP) Argentina dan GP Jerman 2016 dalam kelas Moto3 itu meluahkan hasrat untuk meninggalkan sukan tersebut selepas kecewa dengan prestasi yang dipamerkan musim ini.
Setiausaha Agung MAM, Muizz Azli berkata, pihaknya sedia mengadakan pertemuan dengan pelumba yang terkenal dengan jolokan Super KIP itu bagi membincangkan mengenai masa depannya.
“MAM akan mengadakan perjumpaan dengan Khairul Idham 15 Disember ini bagi mengetahui masalah sebenar. Dia seorang pelumba berbakat dan masih ada pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya.
“Sekiranya dia berdepan masalah, kami di MAM sedia melakukan apa sahaja untuk membantunya,” katanya.
Sebagai rekod, pelumba berusia 22 tahun yang beraksi bersama pasukan Petronas Sprinta Racing itu gagal menampilkan prestasi memuaskan apabila gagal mengutip sebarang mata musim ini.
Keadaan itu memaksa pasukan berkenaan mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui kontrak pelumba kelahiran Kampung Gajah, Perak itu bagi saingan musim depan.