KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin masyarakat India pada Isnin menyifatkan pembangkang tidak pernah serius untuk membantu kaum itu dan hanya berjanji untuk memancing undi.
Mereka bersependapat ketidakhadiran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan kumpulan Barisan Bertindak Hindu (Hindraf) di Klang semalam, adalah antara petunjuk nyata akan sikap sebenar pembangkang.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata banyak janji kepada kaum India yang ditabur pembangkang ketika pilihan raya umum 2008 masih belum tertunai.
“Apa yang telah mereka janji pada pilihan raya umum 2008…bila janji terlalu banyak perkara, banyak yang tidak selesai dan tidak memberikan tumpuan kepada keperluan masyarakat India,” katanya kepada pemberita, di Lobi Parlimen di sini ketika mengulas perkara tersebut.
Pertemuan itu dirancang Hindraf bagi menerangkan “polisi 100 hari” pakatan pembangkang terhadap kaum India yang miskin jika menguasai Putrajaya.
Dalam pada itu, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Datuk Syed Ibrahim Kader berkata ketidakhadiran Anwar jelas menunjukkan sifat sebenar pemimpin pembangkang itu, yang hanya akan turun padang bila diperlukan sahaja.
Beliau berkata masyarakat India pada amnya sudah tidak percaya kepada janji kosong yang ditaburkan pembangkang.
Sementara itu, Ketua penerangan Hindraf S.Jayathas ketika dihubungi berkata pihaknya kecewa dengan ketidakhadiran Anwar, yang dakwanya seperti tidak berminat dengan Hindraf.
“Beliau tidak menjawab surat jemputan kami. Kami berasa sangat kecewa kerana ini adalah peluang untuk menjelaskan pelbagai isu bersabit komuniti kami dan isu am lain,” katanya.
Beliau berkata Anwar cuma memaklumkan tidak dapat hadir pada pertemuan itu kerana mempunyai urusan lain dan Hindraf menetapkan pertemuan “terakhir” bersama pakatan pada 20 Mei ini. Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata usaha Anwar, yang kononnya untuk membantu Hindraf, sebenarnya telah menjerut leher mereka sendiri.
“Ketidakhadirannya sebenarnya menunjukkan beliau terperangkap dengan janji-janji kosong sebelum ini.
“Kalau hendak dikira Buku Jingga, lihat sahaja apa yang telah berlaku di Selangor. Lihat berapa banyak janji Pakatan Rakyat yang dilaksanakan di negeri Selangor…sudah tentu kita akan mendapat jawapan,” katanya.