Setiap bulan, dari Mei hingga Oktober, Samsung akan menaja sebanyak 25,000 pengguna tablet Galaxy Samsung dengan langganan enam bulan ePaper The Star sebagai tawaran tambahan nilai kepada pelanggan.
Ketua Bahagian Telefon Bimbit Samsung Malaysia Electronics (SME) Vincent Chong Weng Kai berkata memberi langganan adalah satu cara untuk Samsung menunjukkan penghargaan kepada pelanggan.
Beliau menambah kerjasama itu membawa maksud satu langkah ke hadapan dalam era digital untuk kedua-dua pihak, Samsung dan The Star.
“Ini hanya permulaan. Saya menjangkakan pada masa akan datang kita bergerak lebih jauh dan meneroka cara yang lebih interaktif untuk menerima dan membaca laporan harian,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran promosi yang diadakan di Menara Star di sini, Rabu.
Promosi berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’ setiap bulan dan bermula dari 7 Mei hingga 31 Oktober memerlukan pengguna baru dan semasa tablet Samsung Galaxy mendaftar secara online dengan memasukkan butir-butir dikehendaki dan nombor Pengenalan Telefon Bimbit Antarabangsa (IMEI) mereka yang terdapat pada peranti.
Pendaftaran dalam talian boleh dibuat di laman web rasmi Samsung Malaysia tetapi hanya bermula dari 7 Mei.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Media SME, VivaKi Malaysia Ranga Somanathan berkata perkongsian Samsung dan The Star adalah selari dengan landskap media yang sentiasa berubah.
“Sebagai pendahulu dalam teknologi dan elektronik pengguna, Samsung mengiktiraf kepentingan menyampaikan kandungan yang relevan kepada pengguna peranti.
“Dengan ini, ePaper The Star menawarkan kandungan tepat pada masanya kepada pengguna dengan cara yang mudah dan bermakna. Ia melibatkan pembaca yang sedia melanggan pada platformnya.
“Ini adalah langkah ke hadapan dan satu contoh yang kukuh bagi memberi tambah nilai kepada semua,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Eksekutif Star Publications Datuk Vincent Lee, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ho Kay Tat, Ketua Editor Kumpulan Datuk Seri Wong Chun Wai, Pengarah Kumpulan Perniagaan Calvin Kan, Pengarah Pemasaran SME Jimmy Tan dan Pengurus Kanan Pemasaran Korporat Elaine Soh.
Pembaca yang mendaftar untuk akhbar The Star dan ePaper juga berpeluang untuk memenangi Samsung GALAXY Tab Plus 7.0.
Butir-butir peraduan yang bermula pada 1 Mei akan diumumkan tidak lama lagi.